PETALING JAYA: Gambar beberapa bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) antara barangan yang dirampas dalam serbuan polis di sebuah rumah teres setingkat di Seksyen 4, kelmarin.
Dalam serbuan jam 12 tengah hari itu, tujuh sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) turut ditahan kerana dipercayai terbabit dalam usaha mempromosi perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini.
Sejumlah 10 keping gambar hitam putih yang dicetak pada kertas A4 ditemui dalam premis berkenaan dan antara gambar bekas pemimpin PKM yang dirampas adalah Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh, Abdullah CD dan Suriani Abdullah.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, dalam serbuan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu, turut dirampas beberapa dokumen, sepanduk, kain rentang, kemeja-T dan beberapa barang lain.
“Polis menyerbu premis berkenaan selepas mendapati aktiviti menjurus kepada usaha meracuni pemikiran orang ramai supaya menyertai perhimpunan.
“Kami turut merampas beberapa keping gambar hitam putih dipercayai bekas pemimpin PKM,” katanya semalam.
Menurutnya, polis merampas 549 kemeja-T, 473 lilitan kepala, 54 risalah dan empat komputer dalam serbuan itu.
“Semua individu yang ditahan iaitu lima wanita dan dua lelaki berusia 23 hingga 54 tahun disiasat mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis/109 Kanun Keseksaan, namun mereka dibebaskan dengan jaminan polis jam 11 malam semalam.
“Siasatan akan dilakukan dari semua aspek termasuk mengenal pasti dari mana persatuan ini mendapatkan dana bagi menyediakan semua barangan yang dirampas selain dana untuk mereka beroperasi,” katanya.
Arjunaidi berkata, tujuh individu yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen lain tidak seperti kes di Pulau Pinang yang memerlukan mereka direman.
No comments:
Post a Comment