WASHINGTON 30 Jun - News Corp. semalam menjual rangkaian sosialnya Myspace yang menghadapi masalah pada harga AS$35 juta (RM105 juta), sekali gus menamatkan zaman kegemilangan laman web tersebut yang tenggelam selepas kewujudan Facebook.
Myspace yang dibeli konglomerat media itu pada 2005 pada harga AS$580 juta (RM1.74 bilion), dijual kepada firma iklan Specific Media.
Blog teknologi All Things Digital milik News Corp. melaporkan, urus janji itu turut menyaksikan seramai 400 hingga 500 kakitangan Myspace diberhentikan.
“Myspace adalah perintis media rangkaian sosial. Syarikat itu telah mengubah cara pengguna melayari, menggunakan dan melibatkan diri dengan Internet.
“Kami akan menggabungkan platform iklan kami untuk mendorong golongan muda dalam inovasi digital,” kata Ketua Eksekutif Specific Media, Tim Vanderhook dalam satu kenyataan.
Jelasnya, mengikut perjanjian jual beli itu, News. Corp. akan memegang antara lima hingga 10 peratus saham Myspace dalam Specific Media.
Myspace yang dilancarkan pada 2003, merupakan laman web rangkaian sosial terkenal enam tahun lalu, tetapi popularitinya menurun apabila Facebook diperkenalkan.
Menurut firma penjejak comScore, Myspace pernah mencatat 21.8 juta pelawat unik bulanan di Amerika Syarikat (AS) pada Ogos 2005 berbanding Facebook yang hanya menerima 8.3 juta kunjungan unik ketika itu. – AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara
No comments:
Post a Comment