Friday, July 1, 2011

Saudi henti keluar permit amah


RIYADH 30 Jun – Arab Saudi semalam mengumumkan bahawa permit kerja kepada pembantu rumah dari Indonesia dan Filipina tidak akan dikeluarkan lagi, selepas kedua-dua negara mengeluarkan syarat-syarat berhubung pengambilan pekerja terbabit.

Kementerian Buruh berkata, ia akan ‘berhenti mengeluarkan visa kerja bagi membawa masuk pembantu rumah dari Indonesia dan Filipina, berkuat kuasa Sabtu ini’ disebabkan ‘syarat-syarat pengambilan yang diumumkan oleh kedua-dua negara’.

“Keputusan kementerian itu diambil serentak dengan usaha yang ditingkatkan bagi membuka saluran baru untuk membawa pembantu rumah daripada sumber lain,” kata jurucakap kementerian, Hattab bin Saleh al-Anzi dalam satu kenyataan.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada minggu lepas mengutuk hukuman pancung yang dilaksanakan oleh Arab Saudi ke atas pembantu rumah Indonesia, Ruyati binti Sapubi kerana tidak memaklumkan perkara itu kepada kerajaan Indonesia dan menuduh Riyadh melanggar ‘norma dan adab’ dalam perhubungan antarabangsa.

Kenyataan beliau menggambarkan kemarahan Indonesia berhubung layanan terhadap tenaga kerjanya di negara-negara Teluk, berikutan beberapa kes penderaan dan pembunuhan.

Selepas Ruyati, 54, menjalani hukuman pancung pada 18 Jun lalu kerana membunuh isteri majikannya, Indonesia mengumumkan pembekuan penghantaran tenaga kerjanya ke Arab Saudi.

Sementara itu, Manila akan meminta penjelasan Arab Saudi mengenai keputusannya untuk menghentikan pengeluaran permit kerja kepada pembantu rumah Filipina.

Kerajaan Filipina juga akan mencari pasaran lain bagi pekerja Filipina sekiranya pembekuan itu dilaksanakan sepenuhnya, kata jurucakap Presiden Benigno Aquino, Edwin Lacierda, hari ini. – AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment