PETALING JAYA: Pelakon Razak Ahmad diperintah membela diri oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, terhadap tuduhan berkhalwat dengan seorang ahli perniagaan berstatus isteri orang, lima tahun lalu.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan yang diwakili Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli berjaya membuktikan kes terhadap pertuduhan khalwat yang dihadapi pelakon itu.
“Selepas meneliti keterangan dan hujahan penggulungan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati ada kes terhadap tertuduh dan memerintahkan tertuduh membela diri,” katanya.
Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad, 44, yang hadir berseorangan kelihatan tenang mendengar keputusan mahkamah itu.
Terdahulu, Wan Mahyuddin dalam penghakimannya berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen pertuduhan khalwat yang dikenakan terhadap tertuduh.
Menurutnya, tiada percanggahan terhadap keterangan kelima-lima saksi pendakwaan apabila masing-masing mengesahkan ketika ditahan hanya tertuduh bersama pasangannya, Selamah Sahudin, 45, berada di dalam rumah yang terletak di Seri Kembangan di sini. Mahkamah turut berpendapat, keadaan tertuduh yang tidak berbaju ketika ditangkap anggota polis bersama seorang wanita yang bukan muhrimnya adalah perkara yang boleh mendatangkan syak dan perbuatan tidak bermoral.
Malah suami wanita itu dalam keterangannya turut membuktikan Selamah adalah isterinya bukan isteri dan mahram kepada tertuduh.
No comments:
Post a Comment