Friday, July 1, 2011

Premis dua wakil rakyat DAP disimbah cat hijau



Keadaan pejabat ADUN Komtar yang disimbah cat hijau di Jalan Seratus Tahun, Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 30 Jun - Kita biasa mendengar ceti haram atau ah long menyimbah cat berwarna merah ke atas premis peminjam yang liat membayar hutang.

Namun, lain pula yang terjadi kepada dua wakil rakyat DAP di negeri ini.

Bukan cat merah, sebaliknya cat berwarna hijau disimbah ke atas premis mereka.

Di kediaman Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng, dua buah keretanya disimbah cat selain bangkai seekor ayam digantung di pagar rumahnya di Taman Sri Rambai.

Kejadian itu disedari suaminya, K. Gunabalan, 63, sewaktu hendak keluar menghantar anak kedua mereka ke sekolah kira-kira pukul 5.45 pagi.

"Ketika kejadian, isteri saya tiada di rumah kerana menghadiri sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur sejak Isnin lalu.

"Saya tidak tahu siapa yang melakukan perkara ini dan tidak pasti ini bersifat politik atau peribadi," katanya.

Beliau kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

Sementara itu, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik di Jalan Seratus Tahun di sini turut disimbah cat berwarna hijau.

Perbuatan itu disedari oleh seorang penghantar surat khabar kira-kira pukul 8.30 pagi apabila terhidu bau cat dan mendapati bahagian depan pejabat terutama pintu dipenuhi percikan cat.

Berikutan kejadian itu, pembantu khas kepada Wei Aik, Adrenea Ng membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Supritendan Baharudin Mustapha dan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat hingga menyebabkan kerosakan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment