Friday, July 1, 2011

Orang kampung tolak Abhisit

pix_gal0
Penduduk utara dingin kempen pemimpin Parti Demokrat Thailand

KHON KAEN: Parti Demokrat pimpinan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva terus gagal meraih sokongan di bahagian utara negara Thailand yang menjadi kubu kuat Baju Merah walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menarik sokongan pengundi luar bandar itu.
Kejayaan Demokrat memperoleh kuasa melalui undi Parlimen dua tahun lalu, nampaknya tidak mengubah ‘nasib malang’ parti itu di sebalik kempen bersungguh-sungguh yang dilakukan.
Hakikat ini terpaksa ditelan calon Demokrat, Sunton Leeseetuan ketika berkempen untuk mendapatkan undi di kawasan beliau dilahirkan, Khon Kaen.

“Saya bernasib baik mereka tidak melempar telur ke arah saya,” katanya merujuk nasib yang dialami Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban yang dilempar telur ketika berkempen di kawasani kubu kuat Parti Puea Thai.

Kawasan luar bandar di utara dan timur laut Thailand mewakili lebih separuh daripada pengundi di Thailand dan menjadi nadi pergerakan kumpulan Baju Merah.

Kumpulan itu dianggotai kebanyakan pekerja, melancarkan tunjuk perasaan jalanan di Bangkok selama dua bulan tahun lalu dalam usaha menggulingkan Demokrat dan Abhisit yang dituduh boneka golongan elit.
Di wilayah Khon Kaen, kemarahan pengundi ditujukan terus kepada pemimpin Demokrat. Poster pemimpin tempatan tidak diusik, sebaliknya gambar Abhisit dan Sunton dikoyak, dipotong atau diconteng.

Baju Merah terus setia kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, pemimpin berkarisma tetapi dipenuhi kontroversi yang disokong berikutan dasar kependudukan termasuk penjagaan kesihatan murah sebelum digulingkan pada 2006.

Kehadiran adik Thaksin Yingluck, sebagai calon pilihan utama pembangkang dengan kemungkinan menang besar, meletakkan Abhisit dan Demokrat dalam keadaan serba tidak kena.

Dalam usaha terdesak meraih sokongan minggu lalu, Abhisit berkempen di lokasi tunjuk perasaan itu, tindakan yang dilihat penganalisis berisiko tinggi menjauhkan pengundi daripada beliau.

Thaksin didakwa melakukan rasuah oleh golongan elit, sebaliknya mempunyai cara kepemimpinan disukai golongan petani, jauh berbeza dengan Abhisit yang dianggap lebih sukar didekati dan ‘dingin’.

“Abhisit dilihat tidak mesra rakyat. Beliau jelas tidak selesa setiap kali ke sawah padi atau bertemu petani,” kata ahli akademik di Institut Kajian Asia Tenggara di Singapura, Pavin Chachavalpongpun.

Beliau berkata, pengundi Baju Merah yang tidak yakin dengan cara pentadbiran Abhisit, semakin hilang kepercayaan terhadap Demokrat selepas tentera menyuraikan tunjuk perasaan mereka tahun lalu, menyebabkan 90 terbunuh. – AFP
Berita Harian Online | Orang kampung tolak Abhisit

No comments:

Post a Comment