Thursday, September 27, 2012

Gaya hidup lebih utama dari anak


       
SINGAPURA: Wanita lebih mudah menyerah kepada takdir berbanding lelaki dalam perancangan keluarga, tetapi keberatan menukar gaya hidup mereka untuk mendapat anak, lapor satu kajian.

Kajian dibuat ke atas lelaki dan wanita dewasa berusia antara 23 dan 38 tahun oleh laman JobStreet.com, untuk memahami apa yang mendorong dan menghalang warga Singapura daripada mempunyai keluarga.
Berdasarkan senarai cadangan, waktu bekerja lebih pendek, 9 pagi hingga 5 petang dipilih sebagai insentif terbaik untuk ibu bapa mempunyai lebih anak.

Tujuh puluh peratus responden berkata, mereka meninggalkan pejabat purata pada jam 7 malam setiap hari.

Responden juga menerima baik satu lagi insentif iaitu kemudahan yang disubsidi di setiap bangunan pejabat.


Seorang ibu yang ditemubual oleh laman itu berkata, “Disebabkan kami tidak mempunyai kereta, ia mengambil masa 1.5 jam setiap hari untuk meninggalkan anak perempuan saya di beberapa pusat jagaan dan terpaksa menaiki MRT beberapa kali sebelum pergi dan balik, setiap hari.”

“Saya kemudian perlu meninggalkan pejabat pada jam 6 petang untuk menjemputnya pulang sebelum 7 malam dan mengelakkan daripada kesesakan.

“Sekiranya setiap bangunan pejabat mempunyai kemudahan ini, saya dengan mudah boleh meninggalkan anak saya di pusat di aras bawah dan kemudian terus ke pejabat, dan sekiranya saya perlu menjenguknya, saya boleh berbuat demikian pada masa rehat dan mudah bagi saya menjemput dia untuk pulang,” katanya.

Kajian itu menunjukkan sistem sokongan biasa untuk ibu bapa bekerja adalah meninggalkan anak mereka di tempat jagaan bayi atau pusat jagaan kanak-kanak.

Ibu bapa bekerja juga menunjukkan lebih suka meninggalkan anak mereka kepada keluarga seperti ibu di rumah, saudara berbanding mengupah pengasuh atau pembantu rumah.

Kira-kira 400 lelaki dan 600 wanita mengambil bahagian dalam kajian itu, 50 peratus berkata mereka tidak mempunyai anak.

Hanya 10 peratus responden berkata mereka mempunyai tiga anak atau lebih. - Straits Times

No comments:

Post a Comment