Poo Su (tengah) dan Bok Poon (kanan) menunjukkan bukti mangsa warganegara Malaysia, semalam |
Dia yang lahir pada 1942 di Taiping, Perak dan boleh berbahasa Melayu kini memegang kad pengenalan merah setelah ditukar daripada kad pengenalan biru oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurutnya, dia sehingga hari ini tidak tahu apakah punca kewarganegaraannya dilucutkan sedangkan ibunya juga pemegang kad pengenalan biru dan warganegara Malaysia.
“Saya sangat terkejut apabila diberitahu saya bukan warganegara Malaysia dan sedih apabila tidak dapat menerima pelbagai kemudahan sebagai rakyat Malaysia sejak 22 tahun lalu.
“Selama itulah juga hak saya sebagai rakyat Malaysia terus dinafikan seperti mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia, baru-baru ini,” katanya kepada Sinar Harian pada sidang media bersama Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Teratai, semalam.
Hadir sama, Ketua Biro Aduan Awam Dun Teratai, Ben Liew Bok Poon.
Bok Poon berkata, dia bersama peguam akan merujuk kes ini di JPN Putrajaya esok supaya perkara ini dapat diselesaikan kerana alasan kewarganegaraan mangsa dilucutkan dilakukan secara tidak munasabah.
Katanya, selepas meneliti kes ini, ada dua bukti kukuh bahawa mangsa adalah warganegara Malaysia yang sah apabila kesemua 12 sijil kelahiran anaknya tertera nama mangsa yang memegang kad pengenalan biru.
“Bukti kedua mangsa adalah warganegara apabila tercatat dia seorang warganegara di dalam pasport yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Negara,” katanya.
Jelasnya, berdasarkan bukti yang ada, mangsa adalah warganegara yang sah tetapi kemungkinan terdapat kecuaian daripada pihak lain menyebabkan kewarganegaraannya dilucutkan.
Menurutnya, mangsa juga pernah mengundi pilihan raya dua kali di Taiping Perak tetapi sejak kad pengenalannya ditukar kepada pemastautin tetap, haknya untuk mengundi dinafikan.
Sementara itu, penasihat undang-undang Pejabat Penyelaras Dun Teratai, Mak Kah Keong berkata, mangsa merupakan warganegara sah sekiranya Perkara 14 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan dirujuk.
Katanya, dalam peruntukan tersebut menyatakan jelas bahawa apabila seseorang itu lahir sebelum 16 September 1963, dia adalah warganegara Malaysia.
“Dalam kes ini, mangsa lahir pada 1942 dan pada masa sama mempunyai bukti kukuh bahawa dia seorang warganegara Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.
No comments:
Post a Comment