Thursday, September 27, 2012

Obama umum usaha baru banteras penyeludupan manusia




NEW YORK 26 Sept. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengumumkan beberapa usaha baru Washington mengetuai kempen membanteras aktiviti penyeludupan manusia yang semakin berleluasa di serata dunia.

Obama berkata, isu penyeludupan manusia, atau istilah sebenarnya perhambaan moden, telah mencetuskan kebimbangan di setiap negara kerana ia boleh membahayakan kesihatan awam serta menimbulkan masalah keganasan dan jenayah terancang.

Katanya, antara langkah yang bakal dikuat kuasakan, Washington akan mengesan aktiviti jenayah terbabit dengan lebih meluas untuk menghalangnya.

“Kami juga akan menyediakan unit perkhidmatan baru yang ditugaskan membuat penilaian isu penyeludupan manusia untuk memahami lebih mendalam masalah ini," katanya ketika berucap pada persidangan Clinton Global Initiative, di sini semalam.

Menurut Obama, AS akan memperhebat latihan kumpulan penyiasat dan pegawai penguatkuasa agar lebih bersedia untuk bertindak dan melayan mangsa penyeludupan dengan baik.

Selain itu, katanya, Washington akan memberi perhatian khas untuk menjejaki sindiket penyeludupan manusia melalui penggunaan teknologi termasuk Internet. - AGENSI

No comments:

Post a Comment