Monday, October 29, 2012

Nizar tanya menteri isu bida WWW1 di Parlimen


Harakahdaily,
29 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin [PAS-Bukit Gantang] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah rasionalnya PDRM menubuhkan skuad khas bagi menyiasat kenyataan tweet beliau bertarikh 28 Mei 2012.

Ini mengenai pembidaan plat kereta WWW1 oleh Sultan Johor sehingga pejabat-pejabat beliau digeledah, 2 buah laptopnya diambil dan telefon bimbit dirampas.

“Berapa ramai anggota yang terlibat dalam siasatan kes ini serta kos yang ditanggung menghantar anggota dari Skudai Johor ke Ipoh serta Kuala Lumpur?” tanya beliau dalam soalan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Soalan daripada ahli-ahli Parlimen PAS hari ini sebagaimana di bawah.

Datuk Dr Mohd Hayati Othman [Pendang] minta Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan menyatakan berapakah jumlah Bomba Sukarela yang beroperasi aktif di seluruh Negeri Kedah dan apakah kemudahan yang diberikan oleh pihak Kementerian kepada mereka.

Mohd Firdaus Jaafar [Jerai] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan menyatakan apakah tindakan awal yang diambil terhadap setiap skim jualan langsung atau MLM (Multi Level Marketing) yang baru diperkenalkan bagi memastikan perniagaan mereka tidak mempunyai unsur-unsur penipuan.

Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Menteri Kewangan menyatakan cadangan untuk mengurangkan duti eksais kereta bagi meringankan beban pengguna.

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta Perdana Menteri menyatakan berapakah bilangan dan nilai projek-projek yang telah diagihkan kepada kontraktor-kontraktor dan firma Bumiputera melalui usaha yang dijalankan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sejak penubuhan TERAJU pada 2011. Namakan projek serta kontraktor dan firma Bumiputera yang diberikan
projek berkenaan.

Mohd. Nasir Zakaria [Padang Terap] minta Perdana Menteri menyatakan adakah keperluan untuk mengadakan satu undang-undang untuk mengawal pengamalan ilmu hitam yang boleh memesongkan akidah dan menyusahkan orang ramai.

Dr. Siti Mariah Mahmud [Kota Raja] minta Menteri Pelajaran menyatakan status permohonan pembinaan Sekolah Menengah Kota Kemuning.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor] minta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air menyatakan komitmen beliau, setelah menerima sistem tender terbuka sebagai kaedah terbaik untuk mendapatkan 'value-for- money' berbanding 'direct-nego', untuk menjamin 'ketelusan' atau 'transparency' dalam sistem 'open tender' khasnya dalam pemberian kontrak oleh Suruhanjaya Tenaga (EC) terdekat ini, serta kesediaan membuat penjelasan dan sebab-sebab dalam pemberian kontrak di Prai dan lanjutan kontrak pembelian tenaga PPA dari IPP dengan Tenaga Nasional Berhad.

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta Perdana Menteri menyatakan apakah perancangan Petronas untuk membangunkan Tok Bali sebagai sebuah 'supply base' yang lengkap memberi khidmat kepada telaga minyak dan gas di perairan Kelantan dan Thailand.

No comments:

Post a Comment