Monday, October 29, 2012

Perayaan Aidiladha tidak disambut



GAMBAR satelit yang dikeluarkan oleh pemerhati Hak Asasi Manusia yang menunjukkan kemusnahan di kawasan barat Myamar - agensi
YANGON 28 Okt. - Myanmar membatalkan sambutan Hari Raya Aidiladha yang berlangsung selama empat hari sejak Jumaat lalu ekoran konflik agama dan etnik yang terus berlaku di Rakhine, demikian diumumkan oleh satu Pertubuhan Islam di negara itu.
Bagaimanapun Persatuan Islam Seluruh Myanmar yang merupakan gabungan lima pertubuhan Islam utama di negara itu, tidak menyatakan sebab yang jelas berhubung pembatalan sambutan perayaan tersebut.
Namun penduduk tempatan mendakwa, pengumuman terbabit dibuat sebagai langkah keselamatan ekoran kematian 64 orang sejak Ahad minggu lalu sehingga keganasan terbaru tercetus pada 24 Oktober lalu.
Dalam perkembangan lain, lebih 22,000 orang daripada komuniti Islam di Rakhine dilaporkan telah menjadi pelarian sejak rusuhan terbaru tercetus.
Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB) di Yangon, Ashok Nigam berkata, kerajaan menganggarkan 22,587 orang, telah melarikan diri dan 4,665 buah rumah dibakar sepanjang keganasan minggu ini.
Katanya, kerajaan Myanmar telah mengeluarkan jumlah rasmi pelarian, tetapi PBB percaya angka tersebut mungkin lebih tinggi daripada apa yang dilaporkan.
"Kira-kira 21,700 orang merupakan penduduk Islam yang telah kehilangan tempat tinggal.
"Kesemua pelarian terbabit masih berada di sekitar kawasan setempat dan tidak bergerak ke mana-mana," katanya.
Sementara itu, Presiden Myanmar, Thein Sein mengakui kemusnahan teruk telah berlaku akibat rusuhan di barat negara tersebut.
"Kerajaan mendapati rusuhan yang berlaku di keseluruhan kawasan penempatan dan sebahagian bandar di negeri Rakhine telah menyebabkan banyak rumah musnah akibat dibakar.
"Kerajaan Myanmar sedang mempertingkatkan tahap keselamatan di Rakhine dan berkemungkinan menghantar lebih ramai tentera dan polis untuk mengawal keadaan," kata jurucakap Presiden, Zaw Htay yang memetik kenyataan Thein Sein. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121029/lu_01/Perayaan-Aidiladha-tidak-disambut#ixzz2Ae96Ggx0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment