TASEK GELUGOR - Polis masih memburu lima lagi lelaki dipercayai terlibat dalam kes rompakan cip mikro unit pemprosesan komputer (CPU) bernilai RM22 juta di sebuah kilang di kawasan Perusahaan Perai Bukit Tengah di sini, 7 Okt lepas.
 
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata pihaknya sudah mengenal pasti lima lelaki berusia 20 hingga 40 tahun itu dan percaya mereka masih berada di negara ini.
 
"Kelima-lima lelaki warga tempatan itu ialah suspek yang terlibat dalam kejadian samun di kilang berkenaan dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.
 
"Identiti mereka telah dikenalpasti dan kita percaya akan dapat menahan suspek terlibat dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Abdul Rahim ditemui selepas menghadiri program polis komuniti dan majlis Korban Perdana Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara bersama kariah Masjid Padang Menora, di sini.

Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, lapan lelaki bersenjatakan pedang samurai melarikan sejumlah cip mikro bernilai RM22 juta dalam satu rompakan di sebuah kilang di kawasan Perusahaan Perai Bukit Tengah.
 
Abdul Rahim berkata pihaknya sedang mengesan 12 kotak mikro cip yang dilaporkan hilang dalam kejadian samun itu dan percaya barangan tersebut masih berada dalam negara.
 
"Keseluruhan yang berjaya kami temui ialah 257 kotok cip mikro dan usaha mencari 12 kotak lagi, tiap satu bernilai RM75,000, sedang giat dijalankan," katanya.
 
Beliau berkata secara keseluruhan polis berjaya menyelesaikan kes terbabit selepas menahan 24 lelaki terdiri daripada perancang utama, pembeli, orang tengah dan orang yang melakukan samun di kilang berkenaan.
 
Abdul Rahim berkata kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata secara berkumpulan. - Bernama