Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad
$entry.content.caption.value
KUANTAN - Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) bersedia untuk melabur di wilayah Mindanao, Filipina sekiranya keadaan politik dan keamanan di wilayah itu benar-benar stabil.

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad berkata pihaknya juga akan menghantar pakar ke sana untuk membuat kajian mengenai kesesuaian tanah dan jenis tanaman di sana.

"Keadaan di sana masih belum benar-benar stabil, kena tunggu dulu, jika keadaan mengizinkan, FGV akan membuat keputusan untuk membuat pelaburan.

"Perkara ini memang ada dalam perancangan bagi memantapkan jenama FGV itu sendiri ke peringkat global," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Transformasi Komuniti di Felda Bukit Goh, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, untuk membantu proses pembangunan wilayah bergolak itu ketika berucap selepas pemeteraian kerangka perjanjian pelan damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Bertindak Islam Moro (MILF) pada 15 Okt lepas.

Najib berkata selain menawarkan latihan dan pendidikan, beliau juga berharap penubuhan Jawatankuasa Bersama Mengenai Bantuan Bagi Kemajuan Sosioekonomi Masyarakat Islam Filipina (JCASAMF) menerusi Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) dianggotai pemimpin kedua-dua negara, dapat memajukan sektor perladangan kelapa sawit, getah asli, industri halal, infrastruktur dan bidang lain di wilayah berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Eksekutif FGV, Datuk Sabri Ahmad dilaporkan berkata FGV bersedia untuk muncul sebagai pelabur asing pertama membuka ladang di wilayah itu.

Sabri dalam satu temu bual agensi berita asing baru-baru ini berkata Mindanao mempunyai tanah paling sesuai di Filipina bagi penanaman sawit.

Menurut Majlis Pembangunan Minyak Sawit Filipina (PPDCI), Mindanao mempunyai kira-kira sejuta hektar padang rumput yang boleh ditukar menjadi ladang sawit. - Bernama