KOTA TINGGI - Seramai tujuh pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di sini melarikan diri selepas merosakkan longkang berpalang besi salah sebuah tembok pusat berkenaan, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Deputi Superintenden Low Hong Seng berkata kejadian disedari pengawal keselamatan pada kira-kira 6 pagi sebaik terdengar bunyi bising selepas melakukan rondaan rutin.

"Sebelum itu, kiraan terhadap pelatih telah dilakukan dan bilangannya mencukupi, namun apabila kiraan semula dibuat selepas bunyi bising itu didapati tujuh penagih berumur antara 22 dan 47 tahun telah melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pihak berkuasa pusat itu kemudian menghubungi polis bagi meminta bantuan dan menjalankan gerakan bersama mengesan pelatih terbabit.

Hasil operasi dan maklumat orang awam, empat pelatih ditahan semula iaitu seorang pada kira-kira 11 pagi ini di jalan utama, dua kilometer dari Feldang Simpang Waha; seorang lagi pada 1.15 pagi di Ladang Getah Malaysia, Batu 4, Jalan Mawai manakala dua pelatih pada 3 petang tadi di sebuah gerai buah-buahan di Jalan Mawai.

Pelatih yang masih bebas ialah Mohd Raziman Rodian dari Jengka, Pahang; Rosli Abu (Batu Pahat) dan Mohd Yusof Ismail (Johor Baharu).

Low berkata operasi memburu tiga pelatih terbabit masih berjalan dan beliau menasihatkan penduduk kawasan sekitar agar lebih berhati-hati dengan keselamatan diri serta harta benda.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di talian 07-8837 222.

Puspen Kota Tinggi yang baru beroperasi pada 8 Jun lepas menempatkan 149 pelatih.- Bernama