MIRANSHAH (Pakistan): Sebuah dron Amerika Syarikat (AS) menyerang sebuah kenderaan dan membunuh sekurang-kurangnya tiga militan di bandar sempadan Pakistan - Afghanistan di Khaider Khel, Mir Ali, semalam.
Jurucakap pasukan keselamatan berkata, pesawat tanpa juruterbang itu melepaskan empat misil ke kenderaan terbabit. “Beberapa dron lain turut terbang di kawasan berkenaan ketika kejadian,” katanya. Sumber lain berkata, identiti mangsa serangan itu belum diketahui. Rangkaian kumpulan Haqqani - yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda - pernah dipersalahkan atas beberapa serangan maut di Waziristan Utara. Sejak sekian lama, Washington menuntut Pakistan bertindak ke atas kumpulan itu yang dituduh Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab menyerang kedutaan mereka di Kabul September tahun lalu. Haqqani dianggap bertindak sebagai “sayap bersenjata” agensi perisikan Pakistan.
Sebagai reaksi, Islamabad menuntut Kabul dan tentera AS berusaha lebih kuat menghalang Taliban negara itu menyeberang pasukan keselamatan Pakistan dari Afghanistan.
Serangan dron AS meningkat ketara di Pakistan sejak Mei lalu apabila Sidang Kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Chicago gagal mencapai persetujuan menamatkan sekatan ke atas konvoi pengangkut bekalan untuk tentera pakatan itu di Afghanistan. - AFP
No comments:
Post a Comment