Tuesday, October 2, 2012

KDN diperintah pertimbang semula permit akhbar Mkini

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini membatalkan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang tidak mempertimbangkan permohonan pengendali laman berita Malaysiakini untuk menerbitkan akhbar harian.
Hakim Abang Iskandar Abang Hashim dalam penghakimannya menyatakan, alasan KDN bahawa hak untuk menerbitkan adalah satu keistimewaan adalah satu salah tafsir kerana penerbitan tersebut sebahagian daripada hak kepada kebebasan bersuara.
Menurut beliau, tindakan KDN untuk tidak memberikan sebarang alasan kepada Mkini Dotcom Sdn. Bhd. (Mkini Dotcom) juga bertentangan dengan keadilan asasi.
Oleh itu, mahkamah mengarahkan agar permohonan Mkini Dotcom untuk mendapatkan permit penerbitan akhbar dirujuk semula kepada kementerian tersebut untuk dipertimbangkan secara undang-undang.
Kesemua responden juga diarahkan untuk membayar kos sebanyak RM5,000 kepada pemohon.
Pada prosiding hari ini, Mkini Dotcom diwakili oleh peguam-peguam, K. Shanmuga dan Edmund Bon yang turut menyebut bagi pihak responden.
Syarikat itu dalam permohonannya menamakan Ketua Setiausaha KDN, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.
Mkini Dotcom telah memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 28 September 2010 bagi mencabar keputusan KDN yang tidak mempertimbangkan permohonan bagi menerbitkan surat khabar.
Menurut afidavit bagi permohonan itu, pengarah syarikat itu, J. Premesh telah memohon permit penerbitan mengikut Seksyen 6(1)(a) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk menerbitkan harian Malaysiakini pada 14 April 2010.
Akhbar Malaysiakini itu dikatakan akan diterbit dan diedarkan di sekitar Lembah Klang dengan harga RM1 senaskhah.
Pemohon mendakwa, Menteri Dalam Negeri tidak memberikan sebarang alasan ketika memutuskan tidak boleh mempertimbangkan permohonannya bagi menerbitkan akhbar tersebut.
Pengendali portal laman propembangkang itu juga turut mendakwa responden pertama tidak pernah menemu bual anak guamnya itu sebelum menolak permohonan yang dibuat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121002/po_03/KDN-diperintah-pertimbang-semula-permit-akhbar-Mkini#ixzz289bhBuGT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment