Tuesday, October 2, 2012

Bangladesh kerah anggota tentera ke Cox's Bazaar



ANGGOTA tentera Bangladesh mendirikan khemah berhampiran kuil Buddha Lal Ching di Ramu semalam.


DHAKA - Pihak berkuasa Bangladesh semalam telah menghantar pasukan tenteranya untuk menjaga keselamatan kawasan penempatan penganut Buddha selepas kumpulan perusuh Islam menyerang beberapa buah kuil dan rumah berikutan timbulnya gambar yang menghina kitab al-Quran di Facebook.
Sekurang-kurangnya enam buah kuil diserang di wilayah Cox's Bazaar kelmarin dengan beribu-ribu penunjuk perasaan memecahkan patung Buddha sebelum polis antirusuhan menyuraikan orang ramai.
Keganasan itu tercetus selepas terdapat dakwaan seorang budak lelaki penganut Buddha memuat naik gambar menghina al-Quran di Facebook.
"Kami menembak peluru getah bagi menyuraikan orang ramai," kata timbalan ketua polis wilayah tenggara, Faruk Ahmed.
Polis berkata, seramai 107 orang telah ditahan berhubung keganasan yang berlaku pada hari Sabtu dan malam kelmarin.
"Ini merupakan satu serangan yang dirancang. Kami tidak akan melepaskan sesiapa pun yang didapati bertanggungjawab," kata Ahmed.
Jelas Ahmed lagi, semua anggota tentera ditugaskan untuk melakukan rondaan di kawasan penempatan penganut Buddha dan kuil di Cox's Bazaar bagi mencegah keganasan baharu. - AFP

No comments:

Post a Comment