AS tawar pengangkutan udara kepada Afrika
Beratus cedera apabila kumpulan militan bertempur dengan askar kerajaan di Mali.
WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) bersedia menyediakan pengangkutan udara kepada tentera Afrika untuk membantu mereka dalam peperangan berdepan kumpulan militan di utara Mali.

Jurucakap Pentagon, George Little berkata, menerusi usaha antarabangsa, AS memberikan sokongan dengan menyediakan pengangkutan udara di wilayah membabitkan negara seperti Chad dan Togo.

“Dengan mengambil kira sokongan tentera Perancis, Pentagon telah menjalankan 17 penerbangan dengan pesawat C-17 untuk membawa lebih daripada 391 tan peralatan dan lebih 500 penumpang dari Perancis ke Bamako,” katanya.

Menurutnya, AS juga menyediakan pesawat sokongan untuk mengisi minyak bagi tiga pesawat KC-135 sepanjang peperangan itu nanti.

Bagi persediaan peperangan itu, Togo menghantar lebih daripada 700 askar sebagai melaksanakan tugas di bawah pengawasan Komuniti Ekonomi Afrika Barat (ECOWAS) manakala Chad, yang bukan sebahagian daripada ECOWAS, telah berjanji untuk menghantar 2,000 askar. - AFP