􀀬􀁐􀁓􀁆􀁂􀀁􀀴􀁆􀁍􀁂􀁕􀁂􀁏􀀁􀁃􀁆􀁓􀁊􀀁􀁂􀁎􀁂􀁓􀁂􀁏
Gabungan imej satelit pada 4 dan 24 Januari lalu menunjukkan pusat kemudahan nuklear Punggye-ri di Korea Utara yang sedang dalam pemerhatian pakar
SEOUL - Korea Selatan, semalam memberi amaran keras kepada Korea Utara supaya tidak melancarkan sebarang ujian nuklear selepas beberapa kenyataan sebelum ini menunjukkan Pyongyang tetap akan meneruskan program itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Presiden Lee Myung Bak mengadakan mesyuarat keselamatan tergempar di kediaman beliau yang turut dihadiri Ketua Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan dan penasihat keselamatan.

Jurucakap presiden, Park Jeong-ha memaklumkan kedegilan Pyongyang akan menyebabkan negara itu bakal berhadapan 'akibat dahsyat' pada masa depan kecuali jika mereka menghentikan tindakan provokatif dan mematuhi obligasi antarabangsa.

"Seoul juga mahu Pyongyang mengambil langkah membebaskan Semenanjung Korea dari sebarang program pembangunan nuklear seperti yang dijanjikan sebelum ini," katanya lagi.

Tindakan Korea Utara melancarkan roket jarak jauh, Unha-3 pada Disember lalu menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak mengenakan sekatan ke atas negara itu pada minggu lalu. - AFP