Friday, February 1, 2013

Korea Selatan pula berjaya lancar roket



Korea Selatan melancarkan Roket KSLV-I di tapak pelancaran Pusat Angkasa Naro di Goheung, selatan Seoul, semalam. - REUTERS
SEOUL 30 Jan. - Korea Selatan melancarkan sebuah roket hari ini, percubaan ketiga bagi meletakkan sebuah satelit di orbit, cabaran yang mempertaruhkan maruah negara itu selepas seterunya, Korea Utara berjaya melakukan misi sama pada bulan lalu'.
Pelancaran roket itu berjaya, selepas menemui kegagalan pada 2009 dan 2010 bagi menjayakan impian negara ini menyertai negara-negara lain menyertai kelab elit angkasa lepas global.
Roket KSLV-I seberat 140 tan berlepas pada pukul 4 petang (3 petang waktu Malaysia hari ini) dari Pusat Angkasa Naro di selatan negara ini.
Roket tersebut membawa Satelit Sains dan Teknologi-2C (STSAT-2C) seberat 100 kilogram, yang dihasilkan oleh Institut Kemajuan Sains dan Teknologi Korea Selatan.
Pegawai pusat angkasa berkenaan berkata, roket yang dihasilkan oleh Rusia pada peringkat pertama dan Korea Selatan pada peringkat kedua, akan mengambil masa selama sembilan minit untuk tiba di orbit sebelum melancarkan satelit.
Kejayaan pelancaran satelit tersebut akan memberi rangsangan moral yang tinggi kepada Korea Selatan dalam meneruskan usaha meneroka bidang teknologi angkasa lepas.
Meskipun dianggap sebagai negara yang berjaya dalam program pembinaan satelit, Seoul masih ketinggalan jauh berbanding negara Asia lain seperti China, Jepun dan India dalam melancarkan satelit di orbit.
Misi pelancaran satelit berkenaan dilaksanakan di bawah persetujuan bersama antara Korea Selatan dan Rusia, yang bersetuju menyediakan tiga buah roket untuk peringkat pertama.
Pelancaran roket ketiga itu pada awalnya dijadual berlangsung pada 26 Oktober lalu, namun terpaksa ditangguhkan sebanyak dua kali ekoran masalah teknikal.
Kelewatan tersebut memberi laluan kepada Korea Utara melancarkan sebuah satelit di orbit pada 12 Disember lalu, meski pun tindakan Pyongyang itu dikutuk masyarakat dunia yang mendakwa misi tersebut merupakan ujian peluru berpandu jarak jauh. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130131/lu_05/Korea-Selatan-pula-berjaya-lancar-roket#ixzz2Jb5rn9mk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment