Friday, February 1, 2013

Kucing di AS pemusnah spesies burung



WASHINGTON 30 Jan. - Satu kajian institut biologi, di sini mendapati kucing-kucing di Amerika Syarikat (AS) telah membunuh kira-kira 3.7 juta ekor burung dan 20.7 juta ekor tikus dan mamalia kecil lain setiap tahun.
Kajian Institut Pemerhatian Biologi Smithsonian diketuai Scott Loss itu bertujuan mengkaji sifat memburu kucing ke atas mangsanya dan kesan terhadap kepupusan spesies-spesies burung dan mamalia kecil yang menjadi mangsa.
Menurut kajian itu yang disiarkan dalam jurnal Nature Communications, kucing mungkin merupakan pembunuh kedua terbesar selepas manusia ke atas spesies-spesies berkenaan yang terdedah kepada kehilangan habitat akibat pembangunan, aktiviti pemburuan atau penggunaan racun perosak.
Berdasarkan kajian sebelum ini, kucing mampu membunuh antara 30 dan 47 ekor burung serta membunuh antara 177 dan 299 mamalia kecil di beberapa tempat di Eropah dan Amerika Utara setiap tahun.
Selain mengkaji sifat dan kesan pemburuan kucing, kajian itu juga bertujuan mengkaji jumlah sebenar kucing yang terdapat di AS.
Setakat ini, dianggarkan terdapat 84 juta ekor kucing di AS mempunyai tuan, dengan beberapa juta daripada jumlah itu bebas berkeliaran dan memburu di luar rumah.
Kira-kira antara 30 dan 80 juta ekor kucing lagi dipercayai tidak bertuan dan dikategorikan sebagai haiwan liar yang boleh meneruskan kelangsungan hidup dengan memburu burung atau mamalia kecil lain.
"Kebanyakan burung dan mamalia kecil yang dibunuh oleh kucing di AS, dipercayai dilakukan oleh kucing yang tidak bertuan," jelas kajian berkenaan.
Dalam pada itu, maklumat daripada Senarai Merah yang dikumpulkan oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) mendapati, kucing yang menghuni di kawasan pulau merupakan antara penyumbang terbesar kepupusan 33 spesies burung, mamalia dan reptilia.
Kajian berkenaan turut mencetuskan perdebatan hangat di New Zealand sebelum ini apabila seorang ahli perniagaan Gareth Morgan meminta agar kucing di negara itu perlu dikasi bagi menyelamatkan spesies unik hidupan liar termasuk burung kiwi. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130131/lu_11/Kucing-di-AS-pemusnah-spesies-burung#ixzz2Jb4mY7HN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment