Stockholm: Tiga kuasa nuklear dunia, China, India dan Pakistan, dilapor meningkatkan senjata nuklear mereka dalam tempoh setahun lalu.
Institut Kajian Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) dalam laporan tahunannya berkata, China kini mempunyai 250 peledak nuklear berbanding 2012, Pakistan menambah 10 lagi senjata itu kepada antara 100 dan 120 sementara India juga meningkatkan bilangan peledak nuklearnya sebanyak 10, menjadikan jumlahnya antara 90 dan 110.
Menurut SIPRI, perlumbaan senjata itu menambahkan kebimbangan kerana keadaan yang disifatkannya sebagai ‘keamanan yang rapuh’ di Asia.
Ia berdasarkan ketegangan yang semakin meningkat sejak 2008 antara India dan Pakistan, China dan Jepun, serta dua negara Korea dan lain-lain.
“Ketika negara itu mengelak konflik secara langsung dan menghentikan sokongan terhadap kumpulan penentang di wilayah satu sama lain, prasangka sejak puluhan tahun tetap wujud.
‘Integrasi ekonomi pula tidak disusuli dengan integrasi politik,” kata SIPRI dalam laporan yang diterbitkan semalam.
Hanya dua kuasa besar lama mengurangkan peledak nuklear mereka. Russia mengurangkan jumlah senjata itu daripada 10,000 kepada 8,500 sementara Amerika Syarikat, daripada 8,000 kepada 7,700.
Peledak nuklear yang dikuasai Perancis kekal 300, Britain, 225 dan Israel, 80.
SIPRI mengakui jumlah itu anggaran semata-mata kerana kuasa nuklear terbabit tidak telus.
Ia masih belum menganggap Korea Utara dan Iran sebagai kuasa nuklear kerana program di negara berkenaan masih dianggap di peringkat awal.
Walaupun jumlah peledak nuklear semakin menurun, SIPRI berkata, ia tidak menggambarkan ancaman nuklear berkurangan.
Menurutnya, usaha untuk mengurangkan senjata nuklear juga berjalan dengan lembap.
Amerika Syarikat dan Russia tidak memusnahkan semua senjata kimia mereka pada 2012 seperti yang dijanjikan.
Syria yang dicengkam perang saudara sejak lebih tahun lalu berkata, ia bersedia menggunakan senjatanya sekiranya diserang negara luar. - AFP
No comments:
Post a Comment