Tuesday, June 4, 2013

Sudah 9 mati di bawah seliaan polis tahun ini

Harakahdaily,
03 Jun 2013


(Senarai mereka yang mati di  bawah seliaan polis sebelum kes Karuna)

KUALA LUMPUR: Kematian jurutera P Karuna Nithi dalam lokap Balai Polis Tampin semalam menjadikan kematian di bawah penyeliaan polis kepada Sembilan orang tahun ini sahaja.

Sebelum ini, NGO hak asasi manusia Suaram berkata, mengikut senarai mereka sudah lapan yang meninggal bermula 14 Januari hingga 1 Jun lalu.

PV Karuna Nithi, 42, yang ditahan sejak Selasa lalu ditemui tidak sedarkan diri oleh anggota polis bertugas di lokap Balai Polis Tampin masih bernafas sekitar 6.30 petang.

Polis kemudiannya bertindak memanggil ambulans dari Hospital Tampin, tetapi pasukan paramedik yang tiba mengesahkan kematiannya pada pukul 7 petang.

Ketua Polis Negeri Datuk Osman Salleh berkata, kejadian itu masih dalam siasatan dan menafikan ia ada kaitan dengan unsur jenayah sama ada mangsa dipukul atau didera.   

"Dalam Twitter contohnya kita dapati banyak spekulasi dibuat mengenai kematian tahanan tersebut dan menuduh kejadian itu adalah angkara polis. Ini sebenarnya tidak adil kepada polis.

"Ini adalah straight forward case di mana pihak Hospital Tampin sendiri yang membuat pemeriksaan terhadap mayat mangsa mendapati tidak ada kesan kecederaan seperti luka atau lebam pada badan mangsa," katanya dalam sidang media di Seremban hari ini.

Bagaimanapun keluarganya semalam mendakwa, ada darah pada tray tempat mayat Karuna di tempatkan. Karuna ditahan dilokap selepas didakwa memukul isterinya dan gagal membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah.

Anggota Parlimen Kapar, S Manikavasagam berkata, beliau mengiringi keluarga ke hospital untuk melihat mayat itu namun tidak dibenarkan masuk kerana hanya dua anggota keluarganya sahaja yang dibenarkan masuk.

“Keluarga tidak dibenarkan mengalihkan mayat itu namun ada darah di atas tray tempat mayat itu ditempatkan,” kata Manivasagam kepada Malaysiakini.

Abang Karuna, P Ilam berkata, dia melihat kesan lebam pada lengan Karuna di samping darah pada kepalanya.

“Dia berdarah dari belakang kepala dan ada kesan lebam pada tangan kanan dan kirinya,” katanya.

No comments:

Post a Comment