Tuesday, June 4, 2013

Korea Utara perluas aktiviti nuklear


WASHINGTON 4 Jun - Korea Utara mungkin dapat memulakan operasi reaktor untuk menghasilkan plutonium dalam tempoh satu atau dua bulan lagi, potensi yang akan membenarkan negara itu mempertingkatkan program senjata nuklearnya.
Institut Amerika Syarikat (AS)-Korea di Universiti Johns Hopkins menyatakan, berdasarkan analisis ke atas imej satelit, Korea Utara dilihat mencapai 'pembangunan mendadak' di kawasan Yongbyon termasuk di reaktor gas-grafit lima megawatt.
"Operasi reaktor tersebut mungkin dapat dimulakan dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi, namun persoalan berhubung adanya bahan tenaga untuk menghidupkan reaktor itu masih timbul.
"Apabila reaktor itu beroperasi, kemudahan tersebut mampu menghasilkan kira-kira enam kilogram plutonium setahun yang boleh digunakan untuk membuat senjata nuklear,'' jelas institut itu dalam laman blognya, 38 North.
Menerusi imej satelit terbaharu yang dianalisis oleh pakar, Jeffrey Lewis dan Nick Hansen itu, Korea Utara juga didapati boleh memulakan operasi reaktor berkuasa air di Yongbyon.
Kerja-kerja dalaman reaktor tersebut juga kelihatan hampir diselesaikan.
Laporan tersebut diterbitkan selepas ketegangan di Semenanjung Korea agak kurang selepas Korea Utara melancarkan ujian nuklear ketiga dan mengancam perang terhadap Amerika Syarikat (AS).
Korea Utara yang dipimpin Kim Jong-un berulang kali mengancam meningkatkan keupayaan nuklear sebagai tindak balas terhadap tindakan AS yang menempatkan tenteranya di Korea Selatan.
Imej satelit baru-baru ini menunjukkan Korea Utara mungkin berjaya melengkapkan sistem penyejukan yang penting untuk operasi reaktor tersebut.
Negara komunis itu sebelum ini meruntuhkan sebuah menara penyejukan pada 2007 untuk menunjukkan komitmennya dalam pelan pembubaran nuklear ditaja AS. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130605/lu_05/Korea-Utara-perluas-aktiviti-nuklear#ixzz2VIXPiXHw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment