Tuesday, June 4, 2013

Kalau Nurul Izzah di Sabah, saya lagi teruk - Mazlan


KUALA LUMPUR: AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman (gambar) melahirkan rasa kesal terhadap pihak berkuasa di Sabah yang tidak membenarkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memasuki negeri itu.

Katanya, Nurul Izzah bernasib baik kerana hanya Sabah sahaja yang tidak membenarkan kehadirannya tetapi bukan negeri yang lain.

“Kalau YB Nurul Izzah tidak dibenarkan masuk Sabah, saya lebih teruk lagi. Sabah, Sarawak dan Felda, oh tanah airku,” katanya dipetik Nusajaya Kini dalam satu kenyataan.

Tambahnya, ini berbeza jika dilihat kepada insiden penceroboh yang meloloskan diri masuk Lahad Datu dengan begitu mudah dan membuat kacau bilau hingga membunuh anggota keselamatan.

Malah, ujarnya pendatang asing boleh memiliki Kad Pengenalan dan mengundi dalam pilihan raya di Malaysia.

Bagaimanapun, kata beliau rakyat tempatan disekat, dihalang dan tidak diizinkan masuk dalam negeri sendiri tanpa sebarang alasan.

“Inilah dia demokrasi yang dilaung-laungkan,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor.

Menceritakan pengalaman ketika ditahan di Lapangan Terbang Miri, Sarawak pada 6 Julai 2011, sekitar jam 10.15 pagi oleh pegawai Imigresen, ujar Mazlan ia memperlihatkan sikap sebenar mereka.

“Saya mengiringi Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam lawatan kerja ke beberapa daerah di Sarawak, termasuk Miri.

“Ia arahan pihak berkuasa negeri, tanpa sebarang alasan, tidak dibenarkan masuk Sarawak sampai hari ini,” jelasnya.

Pada 11 Mac 2012, beliau ditahan dan tidak dibenarkan masuk ke Sabah, setibanya di Lapangan Terbang Kota Kinabalu jam 8.45 malam.

“Pihak Imigresen menyerahkan surat larangan di bawah seksyen 65(1), Akta Imigresen 1959.

“Ketika itu mengetuai rombongan 10 orang delegasi Lajnah Pembangunan Tanah Dan Wilayah PAS Pusat ke Sabah, larangan kekal sampai hari ini,” ujarnya lagi.

Mazlan berkata, sehingga hari ini arahan dari Ibupejabat Felda Kuala Lumpur, tidak membenarkan beliau memasuki rancangan Felda untuk memberi ceramah.

“Sesetengah Felda, program hi-tea pun tidak boleh,” ujarnya.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/19723-kalau-nurul-izzah-di-sabah-saya-lagi-teruk-mazlan

No comments:

Post a Comment