Tuesday, June 4, 2013

AS kekalkan Patriot di Jordan


Gambar disiarkan Senator Amerika Syarikat (AS), John McCain, di Twitternya, menunjukkan beliau melakukan kunjungan sulit ke lokasi misil Patriot yang ditempatkan di selatan Turki, pada 27 Mei lalu. - AGENSI
WASHINGTON 4 Jun - Amerika Syarikat (AS) akan menghantar sistem pertahanan Patriot dan sejumlah jet pejuang F-16 ke Jordan bagi menyertai satu latihan ketenteraan dan mungkin mengekalkan aset berkenaan di negara tersebut untuk mengekang ancaman perang saudara di Syria.
Jurucakap Pusat Pemerintahan Tentera AS yang berpangkalan di Tampa, Florida, Leftenan Kolonel T.G. Taylor berkata, penghantaran kedua-dua senjata tersebut diluluskan sebagai misi menyertai Latihan Eager Lion.
"Beberapa aset pertahanan itu mungkin dikekalkan selepas latihan berakhir atas permintaan kerajaan Jordan untuk mempertingkatkan tahap pertahanan dan keupayaan negara terbabit," katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah pesawat F-16 yang terlibat dalam latihan berkenaan atau jumlah pesawat yang dikekalkan di Jordan.
Keputusan Washington menempatkan pesawat F-16 dan sistem Patriot di Jordan meningkatkan lagi spekulasi tentang kemungkinan campur tangan tentera AS di Syria.
Jabatan Negara AS dalam kenyataannya memaklumkan, beberapa senjata mungkin dikekalkan berdasarkan situasi semasa yang berlaku di Syria yang bersempadan dengan Jordan.
"Namun, masih belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara tersebut," jelas kenyataan itu.
Pentagon telah mengerahkan kira-kira 200 askarnya ke Jordan, termasuk sepasukan pegawai bertanggungjawab dalam pentadbiran ibu pejabat tentera AS, sebagai membantu negara terbabit menghadapi sebarang tindakan ketenteraan di Syria.
Pada awal tahun ini, AS turut menempatkan sistem pertahanan Patriot di sepanjang sempadan Turki-Syria dengan sokongan daripada sekutunya, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Langkah tersebut dilakukan selepas Washington berulang-kali memberi amaran kepada kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad tentang isu penghantaran peluru berpandu canggih kepada kumpulan militan Hezbollah yang berpangkalan di Lebanon.
Kini, kumpulan berkenaan secara terbuka menyertai peperangan di Syria dengan memberi sokongan kepada tentera Bashar.
Bulan lalu, Israel melancarkan serangan udara ke atas Syria dengan alasan menghalang penghantaran peluru berpandu kepada Hezbollah. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130605/lu_04/AS-kekalkan-Patriot-di-Jordan#ixzz2VIXA71YA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment