Tuesday, June 4, 2013

Seorang penunjuk perasaan anti-Erdogan terbunuh


POLIS melepaskan tembakan meriam air ke arah para penunjuk perasaan anti-Erdogan di Ankara semalam.- REUTERS


ISTANBUL - Seorang penunjuk perasaan mati dalam tunjuk perasaan antipemerintah Turki di daerah Umraniye di sini semalam.
Penunjuk perasaan yang terbunuh itu merupakan anggota parti Platform Perpaduan Sosialis, Mehmet Ayvalitas berusia 20 tahun.
Dia meninggal dunia selepas sebuah kereta merempuh sekumpulan penunjuk perasaan di daerah itu.
Ia merupakan mangsa korban yang pertama dalam tunjuk perasaan menentang kepimpinan Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan yang telah memasuki hari keempat di kebanyakan tempat di negara ini.
Menurut Kesatuan Doktor Turki, pemandu kereta tersebut tidak menghiraukan arahan untuk berhenti semasa tunjuk perasaan di daerah tersebut.
Pihak kesatuan itu menganggap kejadian tersebut dilakukan dengan sengaja.
Ia turut menyalahkan pentadbiran Erdogan yang enggan berkompromi selain mengutuk pihak berkuasa kerana menggunakan kekerasan untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Erdogan kini berdepan tunjuk perasaan yang paling besar sejak beliau memegang jawatan itu pada tahun 2003.
Para penunjuk perasaan itu turut marah dengan Erdogan yang mengamalkan gaya pentadbiran seperti seorang diktator.
Tunjuk perasaan itu pada mulanya tercetus bagi membantah projek pembangunan semula sebuah taman dekat Dataran Taksim di sini.
Rancangan yang diatur oleh Erdogan itu adalah untuk membangunkan semula dataran tersebut yang menyebabkan 600 buah pokok ditebang.
Rancangan itu juga melibatkan pembinaan sebuah replika berek tentera pada era empayar Ottoman dengan tujuan untuk menempatkan sebuah pusat kebudayaan.
Dalam pada itu, Erdogan menuduh tunjuk perasaan itu dikendalikan oleh anasir-anasir ekstremis.
Ratusan anggota polis dan penunjuk perasaan cedera sejak tunjuk perasaan itu tercetus pada Jumaat lalu.
Erdogan turut menyatakan, tunjuk perasaan itu dilakukan oleh musuh-musuh sekular yang tidak mahu berbaik semula dengan Parti Keadilan dan Pembangunan pimpinannya yang telah memenangi tiga kali pilihan raya umum serta berjaya meningkatkan prestasi ekonomi dan imej Turki.
Beliau membuat kenyataan itu sebelum berlepas untuk melakukan lawatan ke Afrika Utara semalam.
Ketika Erdogan menyalahkan para penunjuk perasaan tersebut, Presiden Turki, Abdullah Gul memuji tunjuk perasaan aman itu dengan menganggapnya sebagai hak penduduk di sisi demokrasi.
Kedua-dua pemimpin itu dijangka saling bersaing dalam pilihan raya Presiden pada tahun depan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2VBzgw9Du 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment