Tuesday, June 4, 2013

Kekuatan nuklear negara Asia meningkat


STOCKHOLM 3 Jun - China, India dan Pakistan didakwa meningkatkan kekuatan senjata nuklear mereka sejak tahun lalu, lapor Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) hari ini.
Institusi itu dalam laporan tahunannya menyatakan, China kini memiliki 250 unit peluru berpandu nuklear berbanding 240 unit pada 2013, Pakistan pula meningkatkan senjata nuklearnya daripada kira-kira 10 unit kepada antara 100 dan 120 unit, manakala India dari 10 unit kepada kira-kira 90 hingga 110 unit.
'Perlumbaan' senjata itu disifatkan SIPRI sebagai sangat membimbangkan ekoran kedamaian yang 'goyah' di Asia, berdasarkan peningkatan ketegangan sejak 2008 antara India dan Pakistan, China dan Jepun selain dua negara Korea dan negara-negara lain di rantau itu.
"Ketika negara-negara ini mengelak menimbulkan konflik antara satu sama lain secara langsung dan berhenti menyokong pergerakan pemisah di kawasan jajahan antara satu sama lain, perasaan sangsi sejak dahulu masih ada dan integrasi ekonomi tidak diikuti dengan integrasi politik,'' kata SIPRI.
Hanya dua kuasa dunia mengurangkan senjata nuklear mereka iaitu Rusia mengurangkan daripada 10,000 unit kepada 8,500 unit, manakala Amerika Syarikat (AS) pula daripada 8,000 unit kepada 7,700 unit.
Senjata nuklear Perancis kekal sebanyak 300 unit, Britain (225 unit) dan Israel (80 unit).
SIPRI mengakui jumlah tersebut hanyalah jangkaan ketika negara berkuasa nuklear itu tidak telus dalam pendedahan, apabila China kini semakin sukar difahami dan Rusia yang tidak lagi bersifat terbuka.
Institut tersebut tidak menganggap Korea Utara dan Iran sebagai negara berkuasa nuklear lagi kerana program nuklear mereka masih dianggap berada pada peringkat awal. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130604/lu_02/Kekuatan-nuklear-negara-Asia-meningkat#ixzz2VCezNZMm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment