Tuesday, June 4, 2013

SURAT TERBUKA UNTUK DYMM YANG DIPERTUAN AGONG DAN RAJA–RAJA MELAYU


07/05/2013 oleh Prof Dr Nasoha Saabin

Daulat Tuanku!

Ampun Tuanku, salah dan silap pembicaraan patek harap diampun.

Tuanku merupakan payung kepada semua orang melayu dan kaum lain yang menjunjung Tuanku sebagai raja mereka. Orang melayu di Malaysia sememangnya berpegang teguh bahawa DYMM adalah raja mereka. Orang melayu memang terkenal dengan ketaatan mereka terhadap raja-raja kerana mereka sudah turun temurun menganggap raja-raja adalah ketua mereka.

Mana-mana masyarakat yang inginkan kehidupan yang aman dan harmoni mesti mempunyai seorang ketua. Ketua kepada orang-orang melayu adalah raja-raja Melayu dan raja-raja Melayu ini hakikatnya adalah Ulul-Amri atau Amir atau juga Imam. Sebagai contoh dalam solat berjemaah, makmum mesti mengikuti setiap pergerakan imam. Apabila imam mengubah kedudukan pergerakan dalam solat, maka makmum mesti mengubah kedudukan yang sama seperti imam. Makmum tidak boleh mengubah kedudukan dalam solat mendahului imam dan sekiranya makmum mendahului imam maka solat makmum tersebut tidak dikira sebagai berjemaah bersama imam atau dalam kata lain solatnya batal. Apabila imam melakukan kesalahan dalam solat adalah menjadi kewajipan kepada makmum untuk membetulkannya. Allah memerintahkan makmum untuk membetulkan kesalahan imam dengan cara yang berhikmah. Allah memerintahkan makmum dalam solat berjemaah supaya membetulkan atau menegur kesalahan imam dengan menyebut “Subhanallah”. Apabila kita ingin menegur kesalahan imam, niat kita menegur imam bukan niat hendak membetulkanya tetapi niat hanya kerana perintah Allah dan untuk sukakan Allah. Allah mengajar kita supaya beradab dan berhikmah apabila memberi teguran kepada Imam atau Amir kita. Hal yang sama juga, apabila ketua kita ada melakukan kesilapan, Allah memerintahkan kita sebagai rakyat dibawah naungan ketua kita untuk memberi teguran kepada mereka dengan cara yang penuh berhikmah dan beradab.

DYMM Tuanku adalah satu-satunya ketua orang melayu dan ketua kepada semua rakyat Malaysia. DYMM Tuanku telah memberi amanah kuasa untuk mentadbir negara tercinta ini kepada rakyat dan melalui sistem demokrasi, rakyat memilih ketua dikalangan rakyat sebagai wakil mereka dalam Parlimen. Ketua parti politik yang memiliki bilangan majoriti di parlimen dilantik sebagai perdana menteri. Walaupun begitu, perdana menteri bukanlah Ulul-Amri. Ulul-Amri negara ini tetap DYMM Tuanku yang mana dilantik dari Majlis Raja-Raja Melayu. Dari kalangan Raja-Raja Melayu akan dilantik salah seorang dari mereka sebagai Yang Di-Pertuan Agong yang merupakan Ulul-Amri (Amir) untuk negara Malaysia. DYMM Tuanku merupakan Amir mutlak. Dalam satu masa tidak boleh wujud dua Amir. Adalah menjadi perintah Allah supaya melantik seorang Amir untuk memerintah dan menjadi ketua dalam satu masa. Apabila wujud dua Amir dalam satu masa, maka fitnah akan timbul. Fitnah disini memberi maksud kita akan menghadapi huru-hara dan dikalangan orang islam wujud kebencian dan sangka buruk. Orang islam akan akhirnya bunuh membunuh sesama mereka, dan tiada lagi kasih sayang dan keamanan wujud dikalangan mereka. Apabila beberapa orang islam semasa pemerintahan Khalifah Uthman r.a merancang untuk membunuhnya, Hazrat Uthman r.a telah menasihati mereka supaya tidak meneruskan rancangan mereka. Beliau juga memberi amaran sekirnya mereka tidak mahu mentaati nasihat beliau yang merupakan Amir yang sah kepada orang islam pada ketika itu tetapi sebaliknya taat kepada Amir lain maka akan berlaku huru-hara dikalangan orang islam selepas kematian beliau. Sejarah membuktikan kebenaran kata-kata Hazrat Uthman r.a selepas kematian beliau. Selepas Hazrat Uthman r.a dibunuh, keadaan orang islam sehingga sekarang tidak lagi hidup dalam keadaan aman damai dan harmoni sesama orang islam. Soalan pertama Hazrat Umar r.a bertanya kepada orang islam setelah beliau ditikam ialah siapakah yang menikam saya? Apabila orang islam memberitahunya yang menikamnya adalah orang bukan islam, beliau menjadi begitu tenang. Apabila orang islam membunuh orang islam yang lain dan orang islam yang dibunuh itu merupakan Amir kepada orang islam, kemudian fitnah akan berlaku terhadap orang islam. Orang islam tidak boleh mempunyai Amir lebih dari satu untuk memimpin mereka.

Di Malaysia ketika ini sepatutnya hanya ada seorang Amir sahaja dan Amir itu ialah DYMM Tuanku. DYMM Tuanku adalah Amir sebenar bagi negara Malaysia. DYMM Tuanku mesti mengambil alih tugas memerintah Malaysia terutamanya ketika negara berada dalam keadaan huru hara. DYMM Tuanku mesti mengambil alih tugas tersebut lebih-lebih lagi bila orang yang DYMM Tuanku lantik untuk menjalankan tugas untuk melaksanakan undang-undang dan pemerintahan gagal untuk menjalankan tugas dengan baik. Ketika berlaku kekecohan dan huru hara, adalah menjadi tanggungjawab DYMM Tuanku untuk mengembalikan keadaan negara ini menjadi aman dan harmoni. Apabila pemimpin-pemimpin politik yang telah diberi kepercayaan oleh DYMM Tuanku gagal untuk mentadbir negara dengan baik, maka DYMM Tuanku sepatutnya mengambil alih kuasa tersebut dan baginda memerintah negara ini. Kerana berpolitik, orang melayu tidak lagi bersatu dan atas nama menegakkan keadilan di Malaysia banyak penipuan berlaku. Kebanyakan ahli politik tidak lagi jujur dalam menjadikan negara ini sebuah negara yang aman dan harmoni. Kebanyakan mereka menjadikan landasan politik sebagai alat untuk mereka mendapat kekayaan dan kekuasaan. Mereka lebih cenderung untuk menggunakan kuasa yang mereka miliki untuk mengkayakan mereka dan keluarga mereka sendiri. Terdapat sejumlah besar ahli politik sanggup menafikan hak orang melayu hanya kerana untuk meraih sokongan dari orang cina dan india. Apabila ahli politik bersungguh-sungguh menafikan hak orang melayu, ini jelas menunjukkan mereka sebenarnya dalam usaha untuk menafikan hak Tuanku sebagai raja kepada negara ini dan hak Tuanku sebagai Ketua Agama Islam yang memartabatkan agama islam sebagai agama rasmi negara ini. Sebenarnya DYMM Tuanku dan raja-raja melayu yang memberi kepercayaan dan kuasa kepada ahli politik untuk mengurus negara ini. Kuasa mutlak untuk mentadbir negara ini hakikatnya milik DYMM Tuanku dan semua raja-raja melayu dan bukanlah milik mutlak ahli politik.

Hakikatnya, kuasa dan kemuliaan adalah milik Allah dan tiada yang memiliki kuasa dan kemuliaan kecuali Allah. Mengikut ajaran islam, adalah menjadi perintah Allah dan sunnah nabi Muhammad saw ‘apabila ada tiga orang dikalangan kamu, salah seorangnya mesti menjadi Amir’. Amir diberi amanah dengan kuasa dan Amir mestilah menggunakan kuasa untuk menegakkan perintah-perintah Allah. Selagi seseorang itu yang dilantik menjadi Amir, semua arahannya yang tidak bertentangan dengan perintah Allah mestilah didengar, ditaati dan diikuti. Malaysia mestilah mempunyai Amir yang dirahmati oleh Allah SWT dan hak sebenar yang memegang status Amir negara ini ialah DYMM Tuanku. Mempunyai Amir yang buruk adalah lebih baik daripada langsung tidak memiliki Amir dan tidak sepatutnya wujud keadaan di Malaysia langsung tidak ada Amir. Jika kita tidak mempunyai Amir maka kita tidak mentaati perintah Allah dan hal ini menyebabkan Allah murka kepada kita orang islam. Hakikatnya kuasa untuk menggubal undang-undang dan menjalankan pemerintahan di Malaysia tertakluk kepada DYMM Tuanku dan raja-raja melayu, hal ini kerana DYMM Tuanku ketua negara ini. Apabila perdana menteri yang dilantik telah gagal untuk memikul tanggungjawab yang diberikan kepadanya maka DYMM Tuanku sepatutnya mengambil alih kuasa yang diserahkan kepada perdana menteri selama ini dan DYMM Tuanku memilih perdana menteri yang lain agar undang-undang dan pemerintahan kembali dapat dilaksanakan dengan baik. DYMM Tuanku tidak semestinya menggunakan sistem demokrasi untuk memilih perdana menteri. Dalam islam, apabila tiada lagi wahyu diturunkan untuk menyelesaikan masalah manusia maka Allah memerintahkan kita agar mengadakan mesyuarat dikalangan orang yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. DYMM Tuanku boleh menggunakan mesyuarat dikalangan ahli majlis mesyuarat untuk melantik perdana menteri. Ahli majlis mesyuarat sepatutnya dari kalangan Raja-Raja Melayu dan orang yang DYMM Tuanku fikir mempunyai kelayakan untuk menjadi ahli majlis mesyuarat tersebut. Oleh kerana DYMM Tuanku menjadi Amir atau Yang Dipertuan Agong setiap lima tahun sekali, maka perlantikan perdana menteri juga dibuat setiap lima tahun sekali. DYMM Tuanku dan Raja-Raja Melayu mesti mendepankan kesejahteraan negara, perlaksanaan undang-undang dan pemerintahan yang baik lebih utama daripada penggunaan sistem pemerintahan. Dalam sistem demokrasi, majoriti memerintah dan jika sekiranya majoriti dari kalangan orang buruk maka orang yang buruk jugalah akan dipilih menjadi perdana menteri. Sejak merdeka sehingga kini negara kita mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan yang merupakan sistem yang dilaksanakan di negara penjajah kita. Walaupun Tuanku dijadikan Yang DiPertuan Agong atau Amir di negara ini, namun dalam sistem Raja Berpelembagaan, Tuanku berfungsi sebagai penasihat dan tidak memiliki kuasa eksukutif mutlak. Dalam sistem Raja Berpelembagaan, peranan Tuanku selaku Amir menjadi kurang aktif dan berkuasa. Dalam sistem ini, Raja lebih kepada hanya menjadi simbol sahaja dan tidak mempunyai kuasa mutlak. Dalam sejarah islam, dua sistem pemerintahan yang diamalkan ketika pemerintahan orang islam pada zaman kegemilangan sahabat Nabi Muhammad saw. Yang pertama ialan sistem pemerintahan khalifah dan yang kedua ialah sistem pemerintahan beraja.

Sejarah islam membuktikan bahawa empat orang sahabat Nabi Muhammad saw telah menjadi khalifah dan ia dikenali sebagai Pemerintahan Khulafak Rasyidin dan salah seorang sahabat Nabi Muhammad saw telah dilantik menjadi raja. Hadrat Abu Bakar r.a, Umar r.a, Uthma r.a dan Ali r.a adalah Khalifah Rasyidin dan Hadrat Miawiyah r.a adalah contoh pemerintahan beraja. Apabila orang islam terdiri daripada orang yang beriman maka sistem pemerintahan khalifah atau sistem beraja adalah sistem yang sesuai untuk dilaksanakan. Orang islam di Malaysia akan menjadi orang yang beriman kepada Allah apabila orang islam menjalankan kerja mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dengan bersungguh-sungguh. Jika Malaysia ingin melaksanakan sistem pemerintahan islam, maka sistem pemerintahan beraja adalah sistem yang sesuai dilaksanakan di negara ini. Dalam sistem pemerintahan beraja ini, DYMM Tuanku selaku Yang DiPertuan Agong dan Amir kepada negara Malaysia bersama dengan ahli majlis mesyuarat yang menentukan perlantikan perdana menteri. Perdana menteri yang dilantik akan melantik menteri kabinet yang mendapat perkenan dari DYMM Tuanku. Menteri kabinet yang dilantik akan berfungsi untuk membantu perdana menteri menjalankan tugas-tugas perlaksanaan polisi dan arahan yang diputuskan oleh DYMM Tuanku. Sistem demokrasi bukan sistem pemerintahan islam dan tidak pernah digunapakai oleh Nabi Muhammad saw, sahabat-sahabat r.hum dan orang-orang islam terdahulu. Demokrasi merupakan sistem pemerintahan yang dicipta oleh orang-orang Rom kuno dan mereka merupakan orang bukan islam. Dalam sistem demokrasi, golongan majoriti akan diberi kuasa untuk memerintah dan apabila golongan majoriti dari kalangan orang buruk, maka tidak hairanlah orang yang buruk akan berada ditampuk kekuasaan. Oleh yang demikian, Allah tidak pernah menurunkan perintahNya yang membenarkan baginda Nabi saw supaya melaksanakan pemerintahan demokrasi dan ini adalah disebabkan sistem tersebut tidak diiktiraf oleh Allah sebagai sistem pemerintahan yang sesuai dan tidak banyak memberi manfaat kepada manusia. Sistem tersebut dicipta oleh manusia dan sememangnyalah terdapat banyak kelemahan dan keburukan. Dapat dilihat banyak negara yang mengamalkan sistem demokrasi akan bertukar menjadi huru-hara menjelang pilihanraya. Sebagai orang islam kita mesti sentiasa berusaha untuk mentaati semua perintah Allah termasuk dalam hal perlaksanaan sistem pemerintahan yang telah ditunjukkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad saw dan sahabat r.hum.

Kini, ada sebahagian negara di dunia ini tidak menggunakan sistem demokrasi sebagai sistem pemerintahan namum negara mereka masih diterima kewujudannya serta dihormati oleh negara lain di dunia. Negara China dan Saudi Arabia sebagai contoh negara yang tidak mengamalkan sistem demokrasi tetapi mereka masih diterima oleh UN. Apabila sistem pemerintahan demokrasi tidak lagi mampu untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian Malaysia, DYMM Tuanku mempunyai kuasa penuh sebagai Amir negara Malaysia dan bersama dengan semua Raja-Raja Melayu mempunyai hak dan kuasa untuk buat pilihan untuk menggunakan sistem pemerintahan islam iaitu sistem pemerintahan beraja daripada terus mengekalkan sistem pemerintahan demokrasi yang diguna sekarang di negara ini. Sistem pemerintahan islam merupakan sistem pemerintahan yang telah ditunjukkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad saw dan sistem ini diamalkan oleh sahabat-sahabat baginda saw dan orang islam setelah mereka. Sistem pemerintahan islam tidak memerlukan perlaksanaan pilihanraya umum. Tanpa pilihanraya umum, Malaysia mampu menyelamatkan banyak jumlah wang dan ianya dapat digunakan untuk membantu rakyat. Melalui sistem pemerintahan islam, Negara Malaysia juga dapat diselamatkan dari jatuh ke tangan orang-orang jahat yang mahu mentadbir negara ini. Apabila negara ini melaksanakan sistem pemerintahan islam maka negara ini akan dirahmati oleh Allah SWT dengan keamanan dan kekayaan. DYMM Tuanku dan semua Raja-Raja Melayu akan dikenal disisi Allah sebagai hamba Allah yang taat kerana melaksanakan sistem pemerintahan islam di negara ini. DYMM Tuanku dan semua Raja-Raja Melayu akan dikenang oleh generasi akan datang sebagai orang yang bertanggungjawab melaksanakan sistem pemerintahan islam setelah melalui zaman gelap semasa pemerintahan demokrasi. Apabila kita mentaati perintah Allah dengan cara yang telah ditunjuki oleh Nabi Muhammad saw, maka kita akan berjaya dalam pandangan pencipta kita, Allah SWT. Semoga Allah merahmati dan memberi hidayah pentunjuk kepada DYMM Tuanku dan semua Raja-Raja Melayu ke jalan yang benar yang telah dilalui oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad saw.

Saya telah menjalankan tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia untuk memperingatkan DYMM Tuanku dan semua Raja-Raja Melayu serta semua pemimpin politik orang melayu di negara tercinta ini dengan maksud untuk mentaati perintah Allah dan niat saya untuk sukakan Allah dan mencari keredhaan Allah sehingga saya menjadi hamba yang dicintai Allah SWT. Dengan segala keupayaan yang Allah izinkan, saya telah berusaha dengan penuh sopan dan tatasusila untuk memperingatkan DYMM Tuanku dan semua Raja-Raja Melayu serta semua pemimpin politik orang melayu. Sekiranya DYMM Tuanku tidak senang hati dengan apa yang saya kemukakan ini dan tidak menepati kehendak DYMM Tuanku, saya memohon keampunan dari Tuanku dan Allah SWT. Daulat Tuanku ! Ampun Tuanku. Apa yang patek persembahkan harap diampun. Patek mohon mengundur diri.

Prof Dr Nasoha Saabin

Dekan Fakulti Optometri
Kolej Universiti Antarabangsa Teknologi Twintech
Kuala Lumpur, Malaysia

Januari 2011

Karya asal dalam Bahasa Inggeris:

Website: http://mthago.com/2011/01/06/dymm-yang-dipertuan-agong-dan-raja–raja-melayu/

No comments:

Post a Comment