Tuesday, June 4, 2013

Bantahan di Turki bertukar ganas


Polis melepaskan meriam air ke arah kumpulan penunjuk perasaan, sementara beberapa individu dilihat melontar batu ke arah kenderaan polis tersebut dalam bantahan di luar pejabat Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan di Istanbul, Turki, kelmarin. - AFP
ISTANBUL 3 Jun - Keganasan terus meletus di bandar raya terbesar Turki, di sini apabila demonstrasi secara aman oleh penunjuk perasaan bertukar ganas selepas polis campur tangan ketika tunjuk perasaan memasuki hari keempat, hari ini.
Insiden itu mengundang gesaan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan supaya rakyatnya bertenang dan tidak menjadi mangsa provokasi oleh demonstrasi yang dakwanya dirancang oleh unsur-unsur ekstremis.
Dalam nada yang agak keras, Erdogan yang ditemui di lapangan terbang Istanbul sebelum mengadakan lawatan rasmi empat hari ke Maghribi, menyelar pertanyaan pemberita tentang mesej yang cuba disampaikan penunjuk perasaan.
"Mesej apa? Saya mahu dengar daripada anda. Anda mahu saya berlembut lagi? Boleh anda beritahu saya bagaimana?," katanya.
Agensi berita Dogan melaporkan, polis melepaskan gas pemedih mata ke arah kumpulan penunjuk perasaan yang berada di sebuah kawasan berhampiran pejabat Perdana Menteri di Istanbul.
Penunjuk perasaan yang berang turut bertindak membaling batu sebagai reaksi balas tindakan polis itu.
Menurut agensi itu, kira-kira 500 penunjuk perasaan ditahan malam tadi selepas polis berjaya menyuraikan kumpulan demonstrasi di Ankara, ibu negara Turki.
Televisyen Fox Turki melaporkan, kira-kira 300 penunjuk perasaan turut ditahan di Izmir, bandar raya ketiga terbesar Turki akibat insiden sama.
Demonstrasi yang berpunca akibat kemarahan terhadap tindakan berlebihan polis itu telah bertukar menjadi bantahan antikerajaan terbesar dalam tempoh beberapa tahun sekali gus mencabar kuasa Erdogan. - AGENSI/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130604/lu_04/Bantahan-di-Turki-bertukar-ganas#ixzz2VCeYqFeb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment