SYDNEY: Perdana Menteri Australia Tony Abbott meminta Speaker Parlimen supaya mengkaji semula peraturan yang melarang wanita berpakaian burqa atau menutup muka di bangunan berkenaan berikutan bantahan terhadap langkah itu.
Peraturan itu mengkehendaki wanita yang berpakaian burqa menyaksikan sidang Parlimen dari galeri berkaca tertutup.
Langkah ini menimbulkan kritikan bahawa kerajaan cuba mengapi-apikan ketegangan dengan masyarakat Muslim, selain melakukan serbuan ke premis mereka pada waktu sebelum Subuh dalam usaha memerangi keganasan.
"Saya meminta Speaker supaya mengkaji semula keputusan itu, yang difahamkan oleh saya sebagai keputusan sementara.
"Saya percaya perkara itu akan diselesaikan sebelum sidang Parlimen bermula dalam masa dua minggu ini," kata Abbott kepada pemberita di Canberra.
Abbott menyifatkan burqa sebagai sesuatu yang boleh 'menimbulkan ancaman' dan berharap ia tidak akan dipakai oleh sesiapapun.
Namun beliau menambah, bukanlah menjadi tugas kerajaan untuk menentukan apa yang harus dipakai di luar bangunan keselamatan.
Larangan itu dikecam oleh kumpulan Muslim dan anggota pembangkang di Parlimen, termasuk ahli Parlimen bebas Andrew Wilkie, yang menyifatkannya sebagai 'aparteid keagamaan'.
Minggu lalu Senator Cory Bernardi, ahli Parti Liberal pimpinan Abbott, berkata beliau melarang semua pelawat ke Parlimen daripada menutup muka dan berpakaian burqa dari kepala ke kaki sebagai langkah keselamatan. - REUTERS
No comments:
Post a Comment