Friday, October 3, 2014

Hapus levi AP supaya kereta lebih murah


BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) mencadangkan supaya kerajaan menimbang untuk menghapuskan levi sebanyak RM10,000 untuk permit import (AP) terbuka bagi meringankan beban pemegang permit itu.
  
Presiden Pekema Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, persatuan itu mengharapkan bajet 2015 yang akan dibentangkan minggu hadapan dapat menghapuskan levi berkenaan dan menurunkan cukai eksais untuk memberi peluang rakyat membeli kereta import dengan harga lebih murah.
  
"Jika levi dimansuh, harga kereta import akan turun dan dalam masa sama, Pekema akan membawa masuk kereta bermutu tinggi," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
  
Beliau berkata walaupun pinjaman kereta di negara ini boleh dibuat sehingga sembilan tahun iaitu satu tempoh yang membolehkan memiliki kereta dengan lebih murah, namun dalam masa sama ia juga membawa kepada hutang isi rumah yang lebih tinggi.
  
Katanya, berdasarkan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2013 yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia, pinjaman kenderaan menyumbang sehingga 20 peratus daripada jumlah hutang isi rumah.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) Muhammad Sha'ani Abdullah berkata pihaknya yakin dalam pembentangan bajet akan datang, harga kenderaan dijangka turun secara tidak langsung apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan mulai April tahun depan.
  
"Sekarang, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikenakan sebanyak 10 peratus tetapi selepas pelaksanaan GST cukai yang dikenakan sebanyak enam peratus sahaja. Pelaksanaan GST sudah tentulah mengurangkan sedikit harga kereta baharu dan akan lebih murah," katanya.
  
Beliau mengingatkan bahawa penurunan harga kereta tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan sebaliknya harga tersebut kebiasaannya akan ditentukan oleh pengeluar syarikat automotif sedia ada.
  
"Melalui pelaksanaan GST, kita jangkakan memang akan berlaku perubahan pada harga kenderaan, melainkan kerajaan memperkenalkan cukai lain ke atas kereta untuk mengekalkan harga," katanya.- HARAKAHDAILY 3/10/2014

No comments:

Post a Comment