CHILPANCINGO, Mexico: Beribu-ribu penunjuk perasaan menutup lebuh raya ke Acapulco di selatan Mexico semalam bagi mendesak pihak berkuasa mencari 43 pelajar yang hilang sejak penghujung minggu lalu.
Pelajar terbabit, dari kolej latihan guru berhampiran Chilpancingo, mengunjungi bandar Iguala kira-kira 100 kilometer di utara Jumaat lalu bagi mengumpul dana apabila ditembak oleh polis majlis perbandaran selepas mereka merampas beberapa bas untuk balik.
Tiga pelajar terbunuh dan saksi berkata mereka nampak berpuluh-puluh pelajar lain dibawa dengan kereta polis.
Tunjuk perasaan semalam adalah bagi memperingati pembunuhan pelajar secara beramai-ramai di Dataran Tlatelolco oleh pihak tentera pada 1968. Selain memperingati ulang tahun ke-46 kejadian itu, tumpuan semalam juga diberikan kepada kehilangan 43 pelajar berkenaan minggu lalu.
Perarakan di Chilpancingo itu diketuai ibu bapa pelajar yang hilang, diikuti lautan pelajar, guru dan lain-lain.
Antara sepanduk yang dinaikkan mengandungi ungkapan 'Mereka diambil hidup-hidup, kami mahu mereka balik.'
Pihak berkuasa menahan 22 pegawai polis berikutan kejadian itu dan satu lagi kejadian kemudian yang mengorbankan tiga orang lain di pinggir bandar Iguala.
Satu kumpulan penjahat dipercayai terbabit dalam kejadian kedua itu dan pegawai polis terbabit disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan itu.
"Kami sudah bosan dengan kejadian jenayah dan rasuah di negeri ini," kata Manuel Martinez, 32, yang mana anak saudaranya berusia 18 tahun turut hilang dalam kejadian itu.
Usaha mencari dilakukan oleh saudara mara pelajar terbabit, dibantu pasukan keselamatan dan polis serta masyarakat setempat.
Risalah disertai gambar pelajar yang hilang itu turut diedarkan. - AFP
No comments:
Post a Comment