Friday, October 3, 2014

Australia arah siasatan di kem pelarian Nauru

Penunjuk perasaan memegang sepanduk dalam satu perhimpunan di Sydney bagi membantah perancangan Australia untuk menghantar pelarian ke Kemboja. - Foto AFP
SYDNEY: Australia mengarahkan supaya siasatan dilakukan ke atas dakwaan salah laku seksual oleh kakitangan di kem pelarian Nauru, atau laporan itu sengaja direka oleh pekerja bantuan, kata Menteri Imigresen Scott Morrison hari ini.
Di bawah dasar imigresen yang tegas oleh Canberra, warga asing yang cuba mencari perlindungan di Australia dan tiba dengan bot, dihantar ke kem di Nauru dan Papua New Guinea.
Morrison menganggap laporan mengenai salah laku seksual dan penyalahgunaan kuasa terhadap wanita dan kanak-kanak di Nauru itu sebagai serius dan jijik sekiranya benar.
"Dakwaan itu tidak harus dipandang ringan," tegasnya kepada pemberita di Canberra.
Katanya, beliau juga mendapat laporan bahawa kakitangan di pusat Nauru terbabit dalam kempen untuk memperlekehkan dasar imigresen kerajaan.
Katanya, ini termasuk dakwaan menyalah guna laporan rasmi, merancang aktiviti bantahan - termasuk menggunakan kanak-kanak dalam bantahan dan menyuruh
tahanan supaya mencederakan diri sendiri supaya mereka boleh dipindahkan ke Australia untuk rawatan.
Berikutan dakwaan itu beberapa pihak termasuk pembangkang dan Parti Green di Australia mahukan agar siasatan diadakan segera.
Senator Sarah Hanson-Youn daripada Parti Green berkata terdapat juga tuduhan bahawa kanak-kanak dipaksa mengadakan hubungan seks di depan pengawal di pusat berkenaan.
Morrison memberitahu pemberita satu penyiasatan bebas diketuai bekas Pesuruhjaya Integriti yang bekerja dengan kerajaan Nauru dilantik untuk menyiasat dakwaan itu.
"Jika ada orang hendak jadi aktivis politik, itu pilihan mereka, tetapi mereka tidak harus lakukannya ke atas sesuatu di mana wang rakyat dibelanjakan dan menyentuh tempat sensitif seperti Nauru," tegasnya.
Katanya, dengan membuat dakwaan palsu dan paling teruk mendakwa menyuruh orang lain mencederakan diri sendiri dan menggunakan kanak-kanak dalam bantahan juga tidak boleh diterima, tidak kira apa pandangan atau agenda politik mereka. - AFP
BH

No comments:

Post a Comment