Laporan polis terhadap sikap biadab peserta Bersih 4.0
TOREK SULONG | 02 September 2015 1:13 AM
Zawawi Othman (tiga dari kiri) bersama Pengerusi Lujnah dan Media Baharu Pas Kawasan Pasir Puteh, Zainudin Awang Hamat (empat dari kiri) berkumpul bersama penyokong kuat parti Pas dan UMNO selepas membuat laporan polis berhubung perbuatan memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang, di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, Kelantan, semalam. Pemberita/Gambar: TOREK SULONG
PASIR PUTEH 1 Sept. - Buat pertama kali dalam sejarah, penyokong UMNO dan Pas hari ini bersama-sama membuat laporan polis terhadap sikap biadab peserta perhimpunan haram Bersih 4.0 yang memijak gambar presiden kedua-dua parti tersebut.
Laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok itu bertujuan mendesak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap individu yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO serta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika perhimpunan haram tersebut kelmarin.
Malah penyokong kedua-dua parti itu bersama-sama melaungkan ‘hidup UMNO’; ‘hidup Pas’; ‘lenyap DAP’ dan ‘Bersih biadab’ ketika berarak keluar dari IPD tersebut sejurus laporan polis dibuat.
Laporan polis itu dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak manakala Pas diwakili oleh Pengerusi Lujnah dan Media Baharu Pas kawasan tersebut, Zainudin Awang Hamat yang juga bekas ADUN Limbongan pada pukul 12.20 tengah hari. Yang hadir sama ADUN Selising, Zulkifle Ali.
Sementara itu, Zawawi ketika ditemui memberi amaran kepada pihak tersebut supaya tidak mengulangi perbuatan yang boleh membangkitkan kemarahan masyarakat Melayu di negara ini.
“Tidak perlu memohon maaf di atas kerakusan yang telah dilakukan dalam perhimpunan Bersih 4.0. Kami tidak reda pemimpin kami dihina dan diperlekehkan. Kami desak pihak polis menjalankan tindakan yang sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada.
“Biadab dan kurang ajar itulah gelaran yang sesuai dilabelkan. Jangan ulangi lagi sikap kurang ajar sedemikian. Jangan sampai maruah negara tergadai.
“Jangan sampai undang-undang negara diabaikan. Kedua-dua pemimpin ini (Najib dan Abdul Hadi) adalah beragama Islam dan Melayu yang tidak boleh sewenang-wenangnya diperlekehkan dengan cara yang tidak bermaruah,” katanya.
Sementara itu, Zainudin pula berkata, tindakan penyokong Bersih memijak gambar kedua-dua pemimpin itu melambangkan sikap rasis peserta demonstrasi haram dan secara tidak langsung membangkitkan kemarahan yang seolah-olah ketuanan Melayu sudah mula dicabar.
“Sebagai seorang warganegara dan ahli Pas, saya rasa dukacita apabila terdapat rakyat negara ini sudah tidak menghormati maruah pemimpin, bertindak mencari ‘kuasa’ tanpa etika dan tidak melihat aspek keharmonian kaum yang perlu dikekalkan.
“Perbuatan itu tidak seharusnya berlaku ketika negara sedang menyambut ambang ulang tahun kemerdekaan. Akal pejuang Bersih sebenarnya masih belum merdeka dan masih dibelenggu oleh tuntutan perjuangan politik perkauman,” katanya.
Menurut beliau, sepatutnya setiap warganegara tanpa mengira kaum dan agama mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk tanpa bertindak atas desakan emosi yang merugikan.
“Saya mencadangkan kepada Perdana Menteri supaya menggubal kembali kurikulum tentang kehidupan berwarganegara supaya mereka kasih kepada tanah air, agama dan negara, kasih dan akrab sesama dengan hidup yang aman damai.
“Biar matang kalau hendak berpolitik kerana pendekatan rundingan masih boleh diguna pakai. Kalau nak jadi Perdana Menteri tunggulah Pilihan Raya Umum Ke-14 bukannya berdemonstrasi. Tak perlu rampas kuasa dan menunjukkan kebiadaban yang keterlaluan,” katanya.
Tambahnya, pihaknya juga kesal dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang turut hadir dalam demonstrasi haram itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/penyokong-umno-8232-dan-pas-bergabung-1.130791#sthash.fCcXGAFJ.dpuf
No comments:
Post a Comment