Wednesday, September 2, 2015

Ambil tindakan segera ke atas Claire, gesa Azalina

Claire sertai Bersih 4.0 di LondonClaire Rewcastle-Brown menyertai perhimpunan Bersih 4.0 di London, Britain.

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mengambil tindakan undang-undang ke atas percubaan mana-mana pihak luar yang cuba melibatkan diri dengan hal ehwal dalaman negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan tersebut perlu dilakukan apatah lagi ke atas individu yang seolah-olah mencabar sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

“Saya ingin menegaskan bahawa kita tidak boleh sama sekali berkompromi dengan pihak luar yang cuba campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara, apatah lagi dengan niat yang serong.

“Individu luar seperti editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, yang secara tak langsung terlibat di dalam penyebaran laporan palsu boleh dilihat sebagai satu sikap yang mencabar sistem demokrasi berparlimen kita, dan boleh dikira sebagai satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan di Malaysia.

"Tindakan tegas harus di ambil apatah lagi beliau turut terlibat dalam perhimpunan Bersih 4 di United Kingdom (UK), satu tindakan yang boleh dilihat sebagai mencabar sistem demokrasi dan perundangan negara kita," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Claire sertai Bersih 4.0 di London]

Beliau berkata demikian mengulas siaran berita United Kingdom iaitu Sky TV, Sabtu lalu melaporkan Claire bercakap mengenai perjuangannya untuk Malaysia menerusi himpunan Bersih 4.0 yang turut diadakan di negara tersebut.

Claire dikatakan mendedahkan panjang lebar bagaimana dia mendedahkan bukti rasuah membabitkan Najib, bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana dia mendapatkan bahan yang dipanggil sebagai bukti itu.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang menegaskan bahawa semua pihak seharusnya menghormati prinsip kedaulatan antara negara.

“Mana-mana negara tidak wajar merestui mahupun membenarkan warganegaranya mencampuri urusan dalaman negara lain.

“Warga asing tidak mempunyai hak sama sekali untuk campur tangan dalam hal ehwal negara dan masalah dalaman seharusnya ditangani secara dalaman,” bidasnya lagi.

Kata Azalina, “Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat tidak akan tunduk kepada campur tangan mana-mana anasir luar.

“… kita tidak akan sama sekali membenarkan sebarang bentuk kolonisasi oleh mana-mana negara yang mempunyai agenda-agenda tertentu,” tegas Azalina lagi.

No comments:

Post a Comment