Wednesday, September 2, 2015

Anwar sambut baik Tun M sertai Bersih 4.0

Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
SHAH ALAM - Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perhimpunan Bersih 4.0 pada minggu lalu sebagai satu kejayaan besar sambil menegaskan tuntutan penganjurnya adalah sah di sisi undang-undang.
 
Anwar berkata, perhimpunan itu membuktikan rakyat negara ini semakin matang dan bertanggungjawab dalam melaksanakan hak mereka untuk bersuara dan berhimpun secara aman.
 
"Saya ucap tahniah kepada beratus ribu rakyat Malaysia yang sertai perhimpunan aman Bersih 4; ianya merupakan suatu kejayaan amat besar yang memberi fokus penting kepada tuntutan-tuntutan Bersih yang sah dan patut.
 
"Walaupun diugut dan pelbagai halangan oleh pihak kerajaan, namun rakyat cekal meneruskan perjuangan perubahan dan menentang rasuah dan penipuan," katanya dalam satu kenyataan, lewat malam semalam.
 
Bersih 4.0 berlangsung dari jam 2 petang pada Sabtu 29 Ogos hingga tengah malam Ahad (30 Ogos) lalu. Ia diadakan serentak di Kuala Lumpur, Kuching di Sarawak dan Kota Kinabalu di Sabah.
 
Terdahulu, pihak polis telah mengkategorikan Bersih 4.0 sebagai perhimpunan haram susulan kegagalan pihak penganjur memperoleh kebenaran daripada pemilik premis untuk tujuan menggunakan lokasi berkenaan.
 
Menurut polis, mereka yang menyertai perhimpunan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
 
Anwar dalam kenyataannya turut‎ menyambut baik kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Ali pada perhimpunan tersebut.
 
"Saya juga alu-alukan kehadiran Dr Mahathir dan Dr. Siti Hasmah dalam turut menyertai perhimpunan Bersih 4," katanya lagi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tun M 'terpaksa' turun Bersih 4.0]

[ARTIKEL BERKAITAN: Dr M, isteri sekali lagi turun Bersih 4.0]

No comments:

Post a Comment