Wednesday, September 2, 2015

Pihak Berkuasa Tidak Perlu Dapatkan Persetujuan PM Untuk Siasat 1MDB


Diterbitkan: Rabu, 2 September 2015 2:10 PM

PUTRAJAYA: Semua badan penyiasat di negara ini tidak perlu mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memulakan siasatan terhadap mana-mana skandal terutamanya membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, agensi bebas seperti  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menerima sebarang arahan daripada Najib mahupun Kabinet untuk memulakan sesuatu siasatan.
"Sekiranya perlu siasatan, mereka tidak perlu kebenaran daripada perdana menteri sama ada beliau setuju atau tidak.
"Malah siasatan mereka tidak diarahkan perdana menteri dan Kabinet," katanya pada sesi soal jawab dalam program Pengalaman Negara Berdepan Urus Tadbir dan Rasuah pada Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa, (IACC) di sini, Rabu.
Menurut beliau, SPRM, PDRM dan BNM perlu bertindak sebagai sebuah badan bebas sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.
"Jika mereka mahu menjalankan sebarang siasatan terhadap skandal tersebut, mereka tidak perlukan kebenaran daripada perdana menteri atau Kabinet," katanya.
Semasa sesi soal jawab itu, kebanyakan peserta membangkitkan soalan untuk Paul Low mengenai siasatan 1MDB yang mengaitkan nama Najib.
Paul Low menegaskan isu yang timbul dalam siasatan 1MDB adalah berlakunya kebocoran dokumen yang memberi kesan terutama kepada integriti badan penyiasat.
"Kita pandang serius perkara ini. Apabila dokumen bocor semasa siasatan sedang dijalankan ia akan menjejaskan intergriti dalam siasatan tersebut," jelasnya.
Tambah Beliau, sekiranya pihak BNM mendedahkan maklumat akaun peribadi mana-mana pihak, ia satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.
"Sistem perbankan kita dipelihara oleh undang-undang kerahsiaan terhadap akaun peribadi. Contohnya, saya tidak suka akaun peribadi saya didedahkan kepada sesiapa sahaja.
"Namun sekiranya Gabenor Bank Negara menyebut apa-apa tentang akaun saya, dia boleh masuk penjara," katanya.

No comments:

Post a Comment