Salleh Said Keruak
KUALA LUMPUR 1 Sept. - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak membidas bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung pendiriannya bahawa undi tidak percaya perlu diluluskan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Salleh berkata, apa yang Dr. Mahathir tidak beritahu rakyat adalah bahawa jika undi seperti itu diluluskan, bukan sahaja Perdana Menteri, malah kerajaan akan turut jatuh.
“Kerajaan semasa adalah kerajaan Najib Tun Razak. Apabila beliau jatuh maka kerajaannya turut jatuh. Dan itulah yang diinginkan DAP, Pas dan PKR.
“...dan nampaknya seolah-olah ini juga apa yang Dr. Mahathir mahu - kejatuhan kerajaan Najib Razak,” katanya dalam catatan terkini blog beliau, sskeruak.blogspot.com.
“Sebab itu di negara lain apabila undi tidak percaya diluluskan terhadap mana-mana Perdana Menteri, laporan akhbar berkisar tentang kejatuhan kerajaan, bukannya tentang kejatuhan Perdana Menteri,” katanya.
Salleh menegaskan bahawa untuk menjayakan undi seperti itu, ia hanya bermakna Dr. Mahathir terpaksa bekerjasama dengan pembangkang untuk mendapatkan sokongan mereka.
“Malah jika anda memperoleh 30 anggota Parlimen daripada UMNO atau Barisan Nasional untuk menyokong undi itu, anda masih memerlukan 100 peratus sokongan daripada ahli Parlimen DAP, Pas dan PKR untuk membolehkannya dilaksanakan,” jelas beliau.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya 112 ahli Parlimen diperlukan untuk meluluskan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Menteri itu selanjutnya berkata, kehadiran Dr. Mahathir pada perhimpunan Bersih pada hujung minggu menunjukkan penentangannya terhadap Perdana Menteri. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment