Wednesday, September 2, 2015

Hatta, isteri didakwa bercerai taklik




KOTA BHARU – Pas mendakwa perkahwinan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli dengan isterinya terbubar dengan talak tiga secara automatik selepas melanggar bai’ah yang pernah dilafazkannya dengan menyertai parti lain tanpa meletak jawatan sebagai wakil rakyat.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, parti memegang teguh pendirian tersebut memandangkan bai’ah setiap calon Pas yang bertanding di negeri ini mengandungi lafaz tambahan iaitu cerai taklik talak tiga.
“Wakil rakyat Pas negeri lain yang turut bertindak meninggalkan parti tanpa meletak jawatan pula perlu menyedari, pelanggaran bai’ah mereka menyebabkan setiap elaun yang diterima adalah haram.
“Terserah pada dia lah kalau rasa terikat atau tidak dengan bai’ah itu, tetapi pendirian Pas ialah baiah itu mengikat taklik itu pun mengikat. Bai’ah setiap negeri sama, cuma di Kelantan, terdapat tambahan lafaz taklik talak tiga. Jadi kepada sesiapa yang keluar parti (tanpa meletak jawatan) dia kena tanggunglah akibat,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat khas Pas Kelantan di sini semalam.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan seramai 22 bekas pemimpinnya termasuk tujuh wakil rakyat bukan lagi ahli parti itu sebaik mereka dilaporkan berada dalam barisan kepimpinan Parti Pekerja Malaysia (Parti Pekerja).
Mohd. Hatta yang pernah melafazkan bai’ah cerai talak tiga merupakan satu-satunya wakil rakyat negeri ini yang terlibat dalam senarai itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0902&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3kXELB7fy 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment