PUTRAJAYA - Mana-mana badan penyiasat di negara ini tidak perlu mendapat keizinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahupun kabinet untuk menyiasat sebarang kes.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, badan-badan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), polis dan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menerima arahan daripada Najib.
 
"Saya ingin ingatkan bahawa SPRM, polis juga BNM adalah mesti menjadi sebuah badan yang bebas seperti termaktub dalam Perlembagaan. Jadi, jika mereka mahu menjalankan sebarang siasatan terhadap skandal, mereka tidak perlukan kebenaran daripada perdana menteri. 
 
"Siasatan boleh dijalankan sama ada perdana menteri setuju atau tidak. Siasatan mereka tidak diarahkan oleh perdana menteri atau kabinet. Contohnya, saya juga tidak perlukan kebenaran perdana menteri untuk siasat apa-apa," katanya pada sesi soal jawab dalam program Pengalaman Negara dalam Berdepan dengan Pemerintahan dan Rasuah, Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa, (IACC) di sini, hari ini.
 
Sebelum itu, wakil ahli parlimen dari Kenya membangkitkan soalan untuk Paul Low berhubung siasatan terhadap Najib berkaitan skandal yang dilaporkan seluruh dunia.
 
Tegasnya, masalah dalam siasatan melibatkan skandal 1MDB adalah kebocoran dokumen.
 
"Jadi, kami ambil serius bawah Kanun Keseksaan bahawa apabila anda jalankan siasatan, maklumat tidak boleh bocor. Sebab apabila bocor, ia akan pengaruh integriti siasatan itu. 
 
"Sistem perbankan kita dipelihara oleh undang-undang kerahsiaan terhadap akaun peribadi. Contohnya, saya tidak suka akaun peribadi saya didedahkan kepada sesiapa sahaja. Malah jika Gabenor Bank sebut apa-apa tentang akaun saya, dia boleh masuk penjara," katanya.
 
Katanya, isu yang timbul bukan berkaitan skandal sebaliknya tentang integriti siasatan itu
.