SHAH ALAM - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini disambut dengan hampir seratus penyokong yang memakai baju hitam bertulis "I am not a yes man" sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.
 
Muhyiddin tiba dari Australia selepas bercuti bersama isterinya, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman turut disambut dengan tepukan gemuruh ketika berjalan keluar dari balai ketibaan.
 
Memetik laporan Malaysiakini, ketika Ahli Parlimen Pagoh itu tiba pada jam 8.30 pagi, beliau bersalaman dan kelihatan dipeluk oleh para penyokongnya yang merupakan ahli Umno di beberapa bahagian dari Johor iaitu Ayer Hitam, Gelang Patah, Pulai, Pengerang dan Pagoh.
 
Ketika didekati media, Muhyiddin hanya mengangkat tangan dan berkata "Tak apalah" sambil tersenyum.
 
Beliau kemudian beredar selepas beramah mesra dengan penyokongnya selama kira-kira 20 minit.
 
Turut hadir, abang Muhyiddin, Tan Sri Abdul Aziz Yassin.
 
Muhyiddin digugurkan dari jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan ia digantikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
 
Penggugurannya itu dipercayai ekoran kelantangan Muhyiddin berhubung isu skandal kewangan 1MDB.
 
Malah, Muhyiddin juga sebelum ini menegaskan, bahawa beliau bukanlah seorang pak turut dan tidak akan berundur daripada jawatan Timbalan Presiden Umno yang sedang disandangnya
.