Tuesday, July 19, 2011

Dua penunggang motosikal maut



KUANTAN - Dua penunggang maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka terbabit dalam nahas jalan raya berasingan yang dilaporkan berlaku di daerah Kuantan dan Bera, kelmarin.

Dalam kejadian di Kilometer 42, Jalan Kuantan-Maran, seorang pekerja swasta, Mohamad Hafiz Ahmad Sarjuddin, 25 terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Sarena.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Deputi Superintenden Mohd Najid Jusoh berkata, mangsa yang tinggal di Taman Maran Jaya dipercayai dalam perjalanan dari arah Maran menghala ke Kuantan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, dia dipercayai masuk ke laluan bertentangan ketika cuba memotong sebuah lori di hadapannya.

“Sebuah MPV yang datang dari arah Kuantan gagal mengelak lalu bertembung dengan motosikal jenis Modenass yang ditunggangi mangsa.

“Akibat pertembungan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta selamat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Mohd Najid berkata, dalam kejadian berasingan, seorang penunggang maut selepas motosikal yang ditunggangi bersama seorang pembonceng dirempuh sebuah kereta yang terbabas masuk ke laluannya di Kilometer 3, jalan lama Triang- Bahau dekat Bera petang kelmarin.

Beliau berkata, mangsa B Karithikeyam, 34 dari Felda Triang 1 cedera parah di kepala dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Triang kira-kira jam 7.30 petang hari yang sama manakala pembonceng yang parah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk menerima rawatan.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama pemboncengnya dalam perjalanan ke rumah saudaranya di Triang.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Wira dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan berselekoh itu lalu terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa,” katanya.

Mohd Najid berkata, kedua-dua kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SH

No comments:

Post a Comment