Namun bagi seorang ibu dari Kampung Wakaf Raja, Bukit Yong, di sini, RM2,700 cukup besar nilainya dan dia kini benar-benar mengharapkan ada dermawan yang sanggup menghulurkan sumbangan itu bagi membantu memulihkan penglihatan anaknya.
Anaknya Putri Dian Seri Muhamizan, 2, yang mengalami masalah penglihatan perlu menjalani pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dalam masa terdekat namun tertangguh ekoran kesempitan hidup keluarganya.
Ibu kanak-kanak terbabit, Suharni Samsudin, 38, berkata, biarpun kos pembedahan tidak terlalu besar iaitu hanya RM2,700 namun dengan pendapatan suaminya sebagai pemandu teksi, ia belum mampu dikumpulkan.
"Seluruh ahli keluarga memang tidak mampu berbuat apa-apa walaupun bersemangat untuk melihat Dian Seri hidup seperti kanak-kanak lain.
"Wang yang ada cukup untuk membeli keperluan harian sahaja termasuk menyara lima anak dan ibu mertua," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Menurutnya, pendapatan suaminya, Muhamizan Mahasan, 42, sebagai pemandu teksi memang tidak menentu apatah lagi perlu membayar sewa teksi setiap hari biarpun kadang-kala tidak ada penumpang.
Suharni berkata, dia pernah memohon bantuan daripada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) pada tahun lepas tetapi tiada sebarang maklum balas sehingga kini.
Perkara yang sama, katanya, turut dikemukakan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi dinasihatkan agar bersabar setiap kali suaminya ke pejabat berkenaan untuk mengetahui status permohonan.
"Kami sudah tidak mempunyai pilihan lagi kerana doktor pakar hanya menunggu masa sahaja untuk melakukan pembedahan tersebut berikutan umur anak bongsu kami ini semakin meningkat.
"Sebab itu, kami tebalkan muka kepada media dan berharap cara ini dapat membantu mengumpulkan wang untuk membiayai kos pembedahan itu.
"Apa lagi wang simpanan kami jauh lagi untuk mencecah RM2,000 kerana banyak keperluan lain yang masih perlu didahulukan," katanya.
Utusan Malaysia Online - Timur
No comments:
Post a Comment