Tuesday, July 19, 2011

Dua perompak berputih mata



KOTA – Walaupun sudah siap sedia mengumpulkan barangan curi bernilai kira-kira RM7,000 di dalam beberapa guni, dua rakan terpaksa berputih mata apabila kegiatan mereka berjaya dihidu oleh polis hasil aduan orang awam.

Dalam kejadian kira-kira 11.00 malam, Sabtu lalu, dua sekawan itu dipercayai berjaya memecah masuk ke dalam sebuah kedai aksesori kereta di Taman Gadong, Kendung, dekat sini, sementara seorang lagi rakan menunggu tidak jauh dari premis berkenaan.

Pemilik kedai, Chia Wai Seng, 28, berkata, dia berasa begitu lega kerana hasil kecekapan polis dan juga keprihatinan jiran berdekatan premisnya itu, kedua-dua suspek berjaya ditangkap.

Menurutnya, dia sebagai peniaga lebih-lebih lagi bagi yang baru sahaja berjinak dalam bidang perniagaan ini memang amat risau dengan keselamatan premis terutamanya sekiranya menjadi sasaran perompak.

“Oleh itu, kita memang bergantung sepenuhnya kepada pihak polis untuk memastikan mimpi buruk seumpama ini tidak berlaku lagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Untuk rekod, antara barangan yang sudah dimasukkan ke dalam guni oleh kedua-dua perompak berkenaan adalah Unit I-Mobile, Unit Harmony AMP, Unit VR VCD dan Box serta lain-lain lagi.

Kedua-dua perompak yang juga lelaki berusia 20-an itu dikatakan bersembunyi hampir setengah jam di mana salah seorangnya berada di bawah sofa dan seorang lagi menyorok di satu sudut yang menempatkan pelbagai barangan.

Sinar Harian difahamkan, salah seorang daripada suspek yang ditangkap berkebolehan bercakap dalam bahasa Cina dan pernah berkenalan dengan mangsa di lokasi lama premis berkenaan di Pekan Kota.

Kedua-dua suspek masuk melalui pintu belakang dengan memotong besi tingkap dan pintu gril premis berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan pihaknya kini giat mengesan seorang lagi suspek yang terlibat dalam kes berkenaan.

Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah masuk rumah pada waktu malam.
SH

No comments:

Post a Comment