Tuesday, July 19, 2011

Ajal di peluru rakan

PILU...Norehan  bersama  anak tidak dapat menahan sebak. Gambar kecil, Ismail Md Ali.
PILU...Norehan bersama anak tidak dapat menahan sebak. Gambar kecil, Ismail Md Ali.

PEKAN: Program membasmi musuh tanaman disertai anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Kampung Bentan di sini, kelmarin, bertukar tragedi berdarah apabila seorang pesertanya maut terkena tembakan peluru penabur.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa yang juga Ketua Platun Rela Kuala Pahang, Ismail Md Ali, 50, dari Taman Teratai, Kampung Marhum di sini, terkena peluru penabur di dada kiri dilepaskan secara tidak sengaja oleh peserta lain ketika menembak babi di kampung berkenaan.


Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pekan (HP) di sini, sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, untuk rawatan lanjut namun meninggal dunia kira-kira jam 6 petang selepas beberapa jam bertarung nyawa akibat kecederaan parah.

Difahamkan, mangsa menyertai program itu yang bermula seawal jam 8 pagi bersama tujuh lagi anggota Rela dan empat anggota Perhilitan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Marhum bagi memburu babi yang merosakkan tanaman penduduk sejak beberapa bulan lalu.


Menurut anak sulung mangsa, Fareehadina, 22, arwah bapanya itu bersikap pelik apabila enggan mencium dia dan dua adiknya sebelum keluar rumah kira-kira jam 7.30 pagi, malah merenung tajam seolah-olah mempunyai petanda tidak baik.


“Itulah kali terakhir kami menemui ayah sebelum dia terus bertolak tanpa berkata apa-apa. Saya hairan dengan perubahan sikap ayah yang enggan bertegur sapa sebelum keluar rumah menyebabkan fikiran saya mula runsing dan menjangkakan sesuatu tidak diingini berlaku.

“Sedangkan sebelum ini ayah selalu mencium dahi dan pipi kami tiga beradik sebelum keluar rumah selain mengejutkan dari tidur seperti yang dilakukan setiap hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, arwah ayahnya seorang anggota Rela aktif dan menyertai semua program kemasyarakatan, namun tidak menyangka ia akan berakhir dengan tragedi tidak diingini.

“Masih dalam ingatan ayah sempat membawa kami tiga beradik menunggang motosikal dan meronda di sekitar taman perumahan pada petang Sabtu lalu,” katanya yang juga bekas pelajar Politeknik Seberang Prai, Pulau Pinang.


Fareehadina berkata, arwah sempat berpesan kepadanya supaya menjaga ibu, Norehan Jaafar, 45, serta dua lagi adik iaitu Faizal Ashraf, 20, dan Farina Aqilah, 10 apabila tamat belajar.


“Kami sekeluarga juga mengenali anggota yang tertembak arwah ketika memburu namun tetap memaafkannya kerana insiden terbabit berlaku secara tidak sengaja.


“Kami juga memaafkan lelaki itu kerana jika menangis keluar air mata darah sekali pun belum tentu tidak dapat mengembalikan nyawa bapa tercinta,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit.


Menurutnya, lelaki yang berusia 53 tahun dari Jalan Rompin Lama, dekat sini, dan bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah menengah sudah ditahan untuk membantu siasatan.


Katanya, siasatan awal mendapati, lelaki yang juga seorang daripada peserta program berkenaan dipercayai tertembak mangsa ketika cuba menembak babi yang tiba-tiba melintas.


“Polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat,” katanya.

myMetro | Ajal di peluru rakan

No comments:

Post a Comment