ALOR TEMBESU – Kesengsaraan hidup seorang ibu tunggal yang dipotong kaki kirinya sehingga paras paha akibat diabetes, ditambah pula ditinggalkan suami dan perlu menjaga anak kurang upaya (OKU) begitu perit untuk dilalui.
Mukfrimah Mamat, 23, kini terpaksa menumpang teduh di rumah kakak angkatnya di sebuah pondok usang yang disewa dengan kadar RM150 sebulan.
Menurutnya, kehidupannya semakin terhimpit sejak ditinggalkan suami, apatah lagi dia kini tidak mempunyai sumber pendapatan kerana tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan selepas sebelah kakinya terpaksa dipotong.
Mukfrimah berkata, dia cuba memohon bantuan melalui pemimpin di Kampung Gong Gemia (tempat tinggalnya dahulu), namun tiada sebarang tindak balas diberikan.
Katanya, sebagai jalan terakhir dia terpaksa berpindah ke rumah kakaknya dekat sini untuk me-ngelakkan situasi lebih buruk menimpanya.
“Fikiran saya buntu, saya tidak mempunyai wang walau sesen pun, untuk makan dan minum hanya mengharapkan kakak angkat yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya.
“Saya sudah puas memohon bantuan dan sehingga kini saya masih menunggu, namun sampai bila?,” katanya.
Menurutnya, dia sedih kerana permohonannya mendapatkan bantuan tidak dilayan sedangkan dia amat memerlukannya.
Keadaan menjadi semakin sukar apabila pihak hospital pula mula menghantar surat menuntut bil perubatan atas rawatan kaki yang dilaluinya tidak lama dahulu.
“Kini, hospital menghantar surat mendesak agar saya menjelaskan bil rawatan berjumlah lebih RM500.
“Persoalannya dalam keadaan ini, mana nak cari wang sebanyak itu?, Jika ada duit pun saya terpaksa gunakan untuk belanja lampin pakai buang dan makan minum anak saya, Nurul Fatihah Zulkifli, 6, yang kurang upaya,” luahnya.
Sementara itu, kakak angkat Mukfrimah, Maznah Mamat, 34, berkata, dia cuba sedaya upaya untuk membantu adik angkatnya itu.
Namun, dengan status ibu tunggal dan pada masa sama terpaksa menyara empat anak serta tiga masih bersekolah, dia juga tidak berkemampuan.
“Hanya pondok yang saya sewa RM150 inilah menjadi tempat berlindung.
“Saya kasihankan Mukfrimah, sudahlah dia hilang kaki, anaknya pula kurang upaya, suami pula tiada, saya hendak bantu pun keadaan saya sendiri turut dihimpit kemiskinan,” katanya.
No comments:
Post a Comment