Tuesday, July 19, 2011

Tak sempat hantar anak ke hospital



MELAKA - Seorang warga emas yang bergegas pulang ke rumah selepas dimaklumkan seorang anaknya sakit dan perlu dihantar ke hospital, maut apabila keretanya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, hanya 100 meter dari rumahnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam kelmarin di Kampung Manggis, Jalan Pulau Gadong, di sini, mangsa, Md Saino Baba , 63, yang tersepit di dalam kenderaannya, mati di tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa yang sedang minum di sebuah warung di Tangga Batu, bergegas pulang dengan menaiki kereta Proton Iswara selepas mendapat panggilan memaklumkan anaknya sakit dan perlu dihantar ke hospital.

Bagaimanapun ketika menghampiri rumahnya, kenderaan mangsa dipercayai telah bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Melaka Tengah, Asisten Superintendan V Gunasegaran berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dipandu mangsa dari arah Pulau Gadong gagal dikawal lalu terbabas dan bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun dari Taman Desa Duyong.

“Berikutan kemalangan itu, mangsa tersepit di kaki dan mengalami henta�kan kuat di dada serta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Mohd Sham Md Saino, 40, berkata, bapanya memang gemar menikmati minuman bersama rakan pada sebelah malam dan sebelum kejadian arwah berada di Tangga Batu.

“Saya dimaklumkan sebelum kejadian, adik perempuan saya ada menghubungi ayah supaya dapat menghantar adik, Mohd Sharif, 39, yang menghidap kencing manis ke hospital.

“Selama ini pun memang ayah yang menjaga adik termasuk menghantarnya ke hospital atau mana-mana tempat untuk berubat,” katanya.

Mohd Sham berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia mendapati ayahnya kritikal selepas tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Saya sempat membisikkan ke telinga ayah supaya mengucap dua kalimah syahadah dan kemudian menghubungi pihak bomba berikutan keadaannya yang tersepit,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment