KUANTAN- Seorang pegawai pemasaran kerugian hampir RM14,000 selepas disamun tiga lelaki di hadapan rumahnya di Alor Akar di sini, awal pagi kelmarin.
Mangsa berusia 34 tahun itu dipercayai baru turun dari kereta untuk membuka pintu pagar selepas tiba di rumahnya kira-kira jam 1.30 pagi.
Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintenden Noor Asyikin Shamsuri berkata, ketika dia membuka pintu pagar, datang tiga lelaki tidak dikenali menaiki motosikal.
Menurutnya, suspek yang memakai topi keledar turun dari motosikal dan terus menarik mangsa hingga terjatuh.
“Salah seorang penjenayah membuka pintu kereta dan mengambil wang tunai RM3,000 dalam sampul yang diletakkan dia atas kerusi penumpang depan.
“Manakala seorang lagi merampas dompet duit pengadu yang mengandungi wang tunai RM70,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.
Noor Asyikin berkata, penyamun itu turut merampas rantai leher dan jam tangan mewah yang dipakai mangsa bernilai kira-kira RM11,000.
“Selepas mendapatkan habuannya, suspek terus melarikan diri manakala mangsa membuat laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.30 pagi di Balai Polis Kuantan,” katanya.
Menurutnya, dalam kejadian itu mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment