Tuesday, July 19, 2011

13 beranak diami rumah usang



KAMPUNG DANGAR – Seorang ibu tunggal yang terpaksa menjaga 12 anak meminta simpati orang ramai supaya dapat membantunya menyediakan kemudahan rumah yang lebih selamat di Kampung Pauh.

Fatimah Mamat, 53, berkata, mereka kini terpaksa menumpang berteduh di rumah adik-beradiknya yang bersimpati dengan keadaan mereka.

“Selepas kehilangan suami, Saidi Ismail pada 2009, akibat kanser paru-paru, saya tidak mempunyai pendapatan tetap bagi menyara anak-anak.

“Keadaan atap yang bocor, dinding yang dimamah anai-anai dan tiang yang tidak kukuh sering kali mendatangkan kesulitan lebih-lebih lagi pada musim hujan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Fatimah berkata, dia sudah memaklumkan perkara ini kepada pemimpin kawasan awal tahun ini dan berharap permintaannya mendapat maklum balas positif daripada pihak berkenaan.

Menurutnya, dia hanya mahukan keselamatan buat anak-anak yang semakin meningkat dewasa dan dapat mengulang kaji pelajaran dengan lebih selesa dan selamat.

“Saya risau, kerana walaupun hujan hanya sekejap, air memenuhi ruang rumah dan ia menyulitkan keadaan sehingga boleh menyebabkan rumah roboh.

“Saya berharap ada pihak dapat membantu saya untuk mendapatkan bantuan perumahan yang lebih selamat untuk keperluan 12 anak-anak saya,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment